Kerugian kebakaran hutan cecah RM3.37b

SAN DIEGO: Kebakaran hutan di California menyebabkan kerugian AS$1 bilion (RM3.37 bilion) kerana kemusnahan harta benda selain menyebabkan satu kematian ketika angin dilaporkan semakin lemah yang membantu anggota bomba memadamkan api.

Kerugian itu, bagaimanapun, hanya meliputi kawasan San Diego saja. Ia diumumkan selepas Presiden George W Bush menandatangani perisytiharan bencana besar bagi California. Dia melawat kawasan itu, semalam.

Kelmarin, kelajuan angin berkurangan kepada 34 kilometer sejam hingga 58 kilometer sejam, berbanding 160 kilometer sejam yang menyemarakkan kebakaran awal minggu ini.


Cuaca baik juga membolehkan pesawat memadam kebakaran dan membantu pasukan bomba mengawal kebakaran itu.

Helikopter dan pesawat menggugurkan air 30 hingga 35 kali di dua kawasan kebakaran yang menyaksikan beratus-ratus rumah dimakan api di San Bernardino Mountains, berhampiran Lake Arrowhead.

Pasukan bomba juga berjaya sepenuhnya mengawal tiga kebakaran besar di Los Angeles menjelang malam, dan mengawal sebahagian besar beberapa kebakaran kecil di utara San Diego, walaupun api masih marak.

Di sebalik kemajuan itu, tiada satu pun daripada enam kebakaran besar di San Diego berjaya dikawal lebih 15 peratus, dan ia masih mengancam lebih 8,500 rumah.

Keutamaan diberikan kepada kebakaran di San Bernardino yang mengancam 6,000 rumah dan terus marak tanpa dapat dikawal.

Punca kebanyakan kebakaran masih disiasat. Kebakaran seluas 78 kilometer persegi di Mukim Orange, berhampiran Los Angeles, yang memusnahkan sembilan rumah dipercayai perbuatan khianat kerana pihak berkuasa menemui tiga tempat memulakan kebakaran dalam jarak berdekatan.

Angka kematian yang dilaporkan berbeza dengan 22 kematian akibat bencana sama pada 2003 dan ketika angka kematian sebenar masih belum dikira dari kebakaran bermula minggu lalu, pegawai memuji keberkesanan sistem panggilan pembalikan telefon yang mencetuskan arahan pemindahan lebih setengah juta penduduk di kawasan itu - 10 kali lebih tinggi berbanding bilangan dipindahkan empat tahun lalu. � AP

0 comments: