Nirmala melarikan diri kerana tidak tahan dipukul

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Pembantu rumah, Nirmala Bonat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa satu-satunya sebab dia melarikan diri dari apartmen majikannya adalah kerana dia tidak tahan dipukul bertubi-tubi oleh majikannya, Yim Pek Ha.

Nirmala, 22, berkata, tindakannya melarikan diri disebabkan dia telah dipukul dengan menggunakan kole besi di bahagian belakang kepala, dahi dan bawah hidung pada 17 Mei 2004.

Dia turut menafikan cadangan peguam bela, Jagjit Singh bahawa keterangannya sebelum ini yang menyatakan dia telah dipukul di bahagian belakang kepala, dahi dan bawah hidung pada tarikh tersebut adalah tidak benar.

Jagjit: “Saya katakan bahawa darah yang menitik jatuh ke dalam kole dibuat oleh kamu sendiri sebelum 17 Mei?”

Nirmala: “Tidak benar.”

Jagjit: “Saya katakan ini adalah rekaan kamu kerana perbuatan ini (menitiskan darah ke dalam kole) dibuat sebelum 17 Mei dan kamu masukkan barang-barang bukti ini di dalam beg plastik hitam dan meletakkannya di bilik tempat pembuangan sampah?”

Nirmala: “ Tidak benar.”

Warga Indonesia itu turut tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Jagjit bahawa dia sendiri meletakkan kole besi mengandungi darah dan penyangkut baju yang digunakan untuk memukulnya di tempat pembuangan sampah sehari dua sebelum 17 Mei 2004 kerana dia telah merancang melarikan diri dari rumah majikannya.

Kecederaan

Nirmala berkata demikian semasa menyambung keterangan ketika disoal balas oleh peguam bela tersebut pada perbicaraan terhadap Pek Ha, 37, yang didakwa menderanya.

Pek Ha, dibicarakan atas tiga pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala dengan menggunakan seterika dan air panas di rumahnya di 22B- 25-6, Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala dengan menggunakan cawan besi di tempat yang sama pada 3 petang 17 Mei 2004.

Nirmala seterusnya memberitahu bahawa ketika dipukul di dahi dan bawah hidung pada tarikh 17 Mei tahun tersebut, dia tidak membantah kerana jika berbuat demikian, dia akan dipukul lagi.

Oleh kerana khuatir akan disiram dengan air panas, katanya, dia telah bertindak melarikan diri dan melepaskan kole tersebut daripada pegangannya.

Kata Nirmala, walaupun cuba melindungi mukanya daripada dipukul dengan menutup muka menggunakan kedua-dua tapak tangan, tertuduh telah mengarahkannya mengalihkan tapak tangannya.

Ketika ditunjukkan sama ada mangkuk besi atau kole besi yang menyebabkan kecederaan di bahagian kepala, saksi tersebut menjawab kole.

Dia bagaimanapun tidak ingat sama ada mangkuk besi itu ada digunakan untuk memukulnya.

Terdahulu, dalam keterangannya, Nirmala yang mula bekerja dengan tertuduh pada September 2003 memberitahu, dia tidak ingat bila pertama kali dia dipukul oleh tertuduh dan atas sebab apa.

Jagjit: “Saya katakan bahawa keterangan kamu iaitu kamu kena pukul tidak benar kerana kalau kena pukul pertama kali, memang boleh ingat.”

Nirmala: “Tidak setuju, saya tetap dipukul.”

Dia juga tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh peguam itu bahawa penyangkut baju plastik yang dijadikan bahan bukti di mahkamah bukan penyangkut baju yang digunakan untuk memukulnya kerana ia telah dibuang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar Tahir bersambung esok.

0 comments: