Pinda perlembagaan agar jelas pengasingan kuasa kehakiman dan eksekutif

Intan Abdullah
Thu | Oct 25, 07 | 5:01:59 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) - Parlimen perlu meminda semula Perlembagaan Persekutuan untuk menyatakan secara jelas bahawa Malaysia mempraktikkan pengasingan kuasa antara kehakiman dan eksekutif.

Dato' Param Cumaraswamy, yang pernah dilantik sebagai pelapor khas kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai kebebasan kehakiman dan peguam berkata pindaan terhadap perkara tersebut adalah perlu berdasarkan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan bahawa pengasingan kuasa tidak dijelaskan dengan terperinci di dalam perlembagaan.

Param dipetik dalam kenyataan di sebuah akhbar arus perdana berkata, penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan ke atas remaja yang membunuh anak perempuan guru tuisyennya pada 2002, iaitu ditahan atas budi bicara Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) merupakan satu pukulan maut kepada nilai-nilai demokratik yang dianggap oleh rakyat Malaysia terpahat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penghakiman tersebut yang menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan prinsip pengasingan kuasa dengan jelas, beliau berpendapat, mahkamah telah mengesahkan kebimbangan yang diutarakan pada tahun 1988 apabila Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan dipinda yang menghilangkan kuasa kehakiman ke atas keputusan yang dibuat oleh eksekutif.

"Masanya telah tiba kepada parlimen untuk meminda Artikel 121 dan mengembalikan semula kuasa kehakiman ke mahkamah," tambahnya.

Timbalan Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, berkata satu perkara yang perlu diambil berat hasil daripada penghakiman tersebut ialah badan perundangan telah mengehadkan bidang kuasanya sendiri.

Sementara itu, Pensyarah Kuliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Abdul Aziz Bari juga tidak bersetuju dengan mahkamah tertinggi negara yang menyatakan bahawa aplikasi doktrin pengasingan kuasa tidak jelas dan mutlak.

"Pada masa ini, pelaksana dan penggubal undang-undang adalah pihak yang sama, sedangkan mereka adalah sepatutnya dua entiti yang berbeza. Sepatutnya peranan ini haruslah dimainkan oleh pihak yang berbeza.

"Malangnya pelaksanaan prinsip pemisahan kuasa ini telah disalah tafsirkan oleh pihak tertentu yang sekaligus memusnahkan definisi sebenar pemisahan kuasa itu sendiri lantas memperlihatkan badan kehakiman negara tidak lagi bebas," jelasnya.

"Pemisahan kuasa adalah suatu prinsip yang tersirat dan berfungsi dalam perlembagaan ala Westminster seperti kita. Privy Counsil telah lama mengungkapkan perkara ini dalam kes Hinds melawan R (1976) dan kes Duport Steel melawan Sirs (1980).

Abdul Aziz menjelaskan, jika negara terus menerima penghakiman sebegini, apakah yang akan berlaku kepada prinsip semakan penghakiman? Semakan penghakiman merupakan satu lagi bukti bahawa berlaku pengasingan kuasa dalam sistem demokrasi ala Westminster seperti apa yang kini diamalkan di Malaysia.

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan oleh Pendakwaraya Persekutuan ke atas keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan pada 25 Julai bahawa Seksyen 97(2) Akta Kanak-kanak 2001, yang menyatakan bahawa kanak-kanak lelaki yang didapati bersalah itu boleh ditahan atas budi bicara YDPA, adalah bertentangan dengan Perlembagaan kerana bercanggah dengan doktrin pengasingan kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana, keputusan tersebut memberi kuasa kehakiman kepada pihak eksekutif untuk menetukan tempoh tahanan yang perlu dilalui oleh pesalah juvana itu. - mks.

0 comments: