Tarif elektrik naik? -- Berikutan harga minyak dan gas melonjak di pasaran global

Oleh Mustafa Kamal Basri dan Amran Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kerajaan mungkin tidak mempunyai pilihan, selain menaikkan tarif elektrik di negara ini berikutan kenaikan berterusan harga bahan bakar termasuk minyak dan gas global.

Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, TNB kini menanggung kos operasi yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak dan gas serta arang batu di pasaran.

‘‘Harga gas yang digunakan oleh TNB pada masa ini tidak mencerminkan harga sebenar komoditi itu di pasaran dan pengguna elektrik tidak boleh lagi mengharapkan kadar tarif dikekalkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan kewangan syarikat utiliti itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2007 oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie di sini hari ini.

Moggie semasa mengumumkan keputusan kewangan TNB itu berkata, syarikat utiliti itu mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM4.765 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2007 berbanding RM2.756 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Moggie turut menyatakan bahawa pendapatan firma itu melonjak 14.4 peratus kepada RM23.2 bilion dan ia disumbangkan oleh peningkatan permintaan elektrik dan kenaikan tarif yang dilaksanakan pada 1 Jun 2006.

Che Khalib seterusnya berkata, TNB telah menghantar cadangan kepada kerajaan berhubung kenaikan kadar tarif elektrik dan terpulanglah kepada kerajaan untuk membuat keputusan.

‘‘TNB berpendapat kerajaan tidak mempunyai pilihan (untuk tidak menaikkan kadar tarif berikutan kenaikan harga bahan bakar global) dan kini hanya masa dan peratus kenaikan tarif itu sahaja yang belum diputuskan.

‘‘Adalah tidak praktikal untuk mengekalkan kadar tarif pada masa ini berdasarkan keadaan itu.

‘‘Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada keputusan kerajaan,’’ tambah beliau.

Menurutnya, TNB bergantung kepada tiga sumber bahan bakar iaitu minyak dan gas yang kini mengalami lonjakan harga yang ketara dan sumber alternatif ketiga, arang batu yang turut mengalami kenaikan harga.

Che Khalib berkata, pada masa ini, TNB masih mengenakan kadar tarif yang paling murah di rantau ini.

Baru-baru ini, TNB telah meminta kerajaan menghapuskan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh 10 tahun kawalan ke atas harga gas asli yang dibekalkan kepada syarikat penjana kuasa.

Kerajaan pada masa itu, tidak membenarkan TNB memindahkan peningkatan harga gas dan menetapkan harga yang boleh dikenakan oleh TNB kepada firma penjana kuasa bebas (IPP) dan beberapa syarikat industri pada paras RM6.40 bagi setiap mmBtu (juta unit Termal British).

Pada masa ini, TNB menggunakan 1.35 bilion kaki padu standard gas setiap hari daripada pembekal tunggalnya, Petronas dan jumlah tersebut tidak pernah ditambah sejak tahun 2002.

Harga gas di pasaran antarabangsa ketika ini adalah sekitar AS$7 (RM24.50) bagi setiap mmBtu dan sebagai perbandingan kepada pasaran semasa, Petronas menanggung subsidi sebanyak RM18.10 bagi setiap mmBtu.

Sebelum ini, Petronas bercadang untuk menaikkan harga gas dan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Tenaga yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini telah memutuskan bahawa tidak ada kenaikan harga gas buat masa ini.

Che Khalib berkata, TNB bernasib baik kerana telah menambat harga arang batu kepada AS$50 atau RM167.75 setan sehingga tahun depan walaupun harga semasa bagi bahan bakar tersebut ialah AS$70 (RM234.82) setan pada masa sekarang.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai strategi penstrukturan semula hutang TNB, Che Khalib berkata, pihaknya merancang untuk menyusun semula hutangnya dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berjumlah RM2.8 bilion.

Secara asasnya, TNB mahu memanjangkan tempoh pembayaran pinjaman dengan KWSP sehingga tambahan lima tahun lagi dan setakat ini, kedua-dua pihak telah bersetuju mengenai perkara tersebut dan akan membuat pengumuman mengenainya tidak lama lagi.

TNB disenaraikan sebagai firma peminjam terbesar di negara ini dengan hutang berjumlah RM24 bilion setakat akhir tahun kewangan yang lalu.

0 comments: