Kenaikan gaji besar lebih baik dari bonus – Najib

Daripada SAMSOR JUNET

PARIS 25 Okt. – Kakitangan kerajaan perlu menyedari hakikat bahawa kenaikan gaji yang besar tahun ini sebenarnya jauh lebih besar faedahnya daripada bonus tahunan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kenaikan gaji sebanyak 42 peratus yang diberikan kepada kumpulan sokongan tahun ini merupakan kenaikan gaji yang terbesar dalam sejarah.

Malah, tegas beliau, jika dikira tiap-tiap bulan, pendapatan kakitangan kerajaan yang bertambah itu jauh lebih besar daripada bonus tahunan yang pernah diterima.

“Sebab itulah kerajaan memutuskan pada tahun ini tidak ada bonus. Mereka kena terima hakikat kenaikan gaji yang besar itu lebih besar faedahnya daripada bonus tahunan yang pernah mereka terima sebelum ini,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerja tiga hari ke Perancis di sini, semalam.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerajaan tetap tidak memberikan bonus kepada kakitangan awam pada tahun ini.

Kelmarin, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman meminta kakitangan kerajaan terutama dalam kumpulan sokongan supaya lebih berjimat-cermat dan tidak sangat mengharapkan bonus.

Pada sidang akhbar itu juga, Najib menafikan andaian sesetengah pihak bahawa terdapat perlumbaan senjata di kalangan negara anggota ASEAN kebelakangan ini terutama membabitkan pemerolehan kapal selam.

Menurut beliau, ini kerana pembelian peralatan ketenteraan yang canggih oleh beberapa negara anggota kebelakangan ini merupakan satu proses semula jadi bagi setiap negara dalam memodenkan angkatan tentera masing-masing.

Beliau berkata, dalam kes Malaysia, negara telah mengumumkan usaha-usaha bagi pemerolehan kapal selam Scorpene sejak empat tahun lalu, begitu juga pembelian 18 pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM dari Rusia.

“Sebenarnya negara-negara lain akan melakukan perkara yang sama kerana aset-aset lama perlu diganti dengan peralatan baru dengan teknologi semasa yang canggih mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas dakwaan sesetengah pihak berlaku perlumbaan di kalangan negara anggota ASEAN untuk memiliki kapal selam sendiri termasuk Singapura dan Indonesia yang masing-masing memiliki empat kapal selam.

- Utusan

0 comments: