Saksi mengaku cuai tanda tarikh pita rakaman

SHAH ALAM 25 Okt. – Seorang anggota polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mengaku meletakkan tarikh yang salah pada dua daripada tiga pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dirampas dari Hotel Malaya pada 10 November tahun lalu.

Sarjan Amran Ab. Aziz sebagai saksi pendakwa ke-45 memberitahu dia meletakkan tarikh 6 November 2006 pada pita yang sepatutnya diletakkan 11 November 2006 kerana kecuaiannya.

‘‘Saya tidak pasti bagaimana saya boleh tulis begini. Mungkin ada sedikit kecuaian. Mungkin satu kesilapan.

‘‘Saya tak pasti ada pergi ke Hotel Malaya pada 6 November 2006 . Tapi apa yang saya tahu, saya telah ambil tiga pita dan guest folio (folio penginap) dari hotel tersebut pada hari yang sama (10 November 2006),” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup semasa pemeriksaan utama.

Perbicaraan masuk hari ke-52 hari ini.

Semasa ditanya mengapa tarikh yang ditulis pada dua pita rakaman 11 November sedangkan beliau membuat rampasan pada 10 November 2006, beliau memberi alasan ia adalah tarikh pita rakaman itu diserahkan kepada pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Tonny Lunggan.

Serahan

Menurut Amran yang pada ketika itu bertugas di Cawangan Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, beliau tidak terus membuat serahan kerana mengikut pasukan menjalankan siasatan kes lain serta berikutan arahan daripada Asisten Supritendan Zulkarnain Samsudin agar menyimpan pita-pita itu.

Selain kesilapan pada pita rakaman, saksi juga mengaku meletakkan tarikh yang salah iaitu 10 November 2006 pada borang serah menyerah yang ditandatangan oleh beliau dan Tonny.

Begitu juga tarikh serah menyerah yang tercatat pada diari siasatan (ID) yang turut meletakkan tarikh sama walau proses penyerahan pita rakaman dan folio penginap dari Hotel Malaya berlaku pada 11 November 2006.

‘‘Ia mungkin satu kesilapan tarikh apabila menulis tarikh di borang. Saya yang tandatangan dahulu. Mungkin ASP Tonny terpandang tanda tangan saya dan turut silap.

‘‘Tarikh 10 November 2006 dalam diari siasatan juga silap kerana saya membuat ID merujuk kepada tarikh saya tanda tangan di bawah borang ini. Tarikh sebenar saya serahkan tiga pita dan folio penginap kepada ASP Tonny adalah 11 November 2006,” jelas beliau.

Semasa disoal balas oleh peguam Hazman Ahmad, Amran bersetuju bahawa terdapat dua tarikh penyerahan pita tercatat di dalam ID yang menimbulkan kekeliruan.

0 comments: