Adik Dr Sheikh Muszaphar masih kritikal

PETALING JAYA: Keadaan Sheikh Mustaffa Shukor Al-Masrie, 32, adik Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, dilaporkan kritikal dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Agil di kalangan anggota keluarga ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Wad Neurosains, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini dengan pengawasan rapi.

Bapanya, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor, berkata tiada perubahan anak keempatnya itu sejak dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan Ahad lalu selepas tidak sedarkan diri apabila terlanggar tiang kayu di sebuah restoran di Jalan Klang Lama.
"Saya diberitahu doktor sudah menjalankan pembedahan kecil bagi mengeluarkan darah beku di kepalanya tetapi dia masih tidak sedarkan diri dan diletakkan di bawah pengawasan rapi," katanya kepada pemberita semalam.

Sheikh Mustaffa tiba di pusat perubatan itu jam 6.30 petang selepas menempuh perjalanan pulang hampir 15 jam dari Moscow ke ibu negara melalui Amsterdam.

Bagaimanapun, isterinya, Datin Zuraida Sheikh Ahmad tidak kelihatan dan Berita Harian difahamkan, beliau dihantar pulang terus ke rumah setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atas sebab kesihatan.
"Hanya saya, anak-anak dan keluarga terdekat sudah diberitahu mengenai keadaan sebenar Agil. Isteri saya belum tahu cerita sepenuhnya lagi sebab saya bimbangkan kesihatannya. Muszaphar pun sudah diberitahu sebaik tiba ke bumi.

"Dia (Muszaphar) memang mahu segera pulang ke tanah air untuk melawat adiknya tetapi keadaan tidak mengizinkan sebab masih dalam tempoh kuarantin," katanya.

0 comments: