Kes bunuh Altantuya: 4 suspek 'dikuarantin' di HKL

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

SHAH ALAM: Empat suspek kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu diasingkan dalam sebuah bilik dikenali sebagai 'Bilik Mawar' ketika sampel darah mereka diambil kerana kes itu 'istimewa', Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Sarjan Mohd Saad Kimbok, 49, daripada Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), berkata empat suspek itu adalah tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri dan teman wanitanya, Lans Koperal Rohaniza Roslan (saksi ke-7), tertuduh kedua Koperal Sirul Azhar Umar dan tertuduh ketiga, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup pada sesi pemeriksaan utama, Mohd Saad, berkata proses mengambil sampel darah itu dijalankan Dr Zainal Effendy Zainal Abidin di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 10 November 2006.

"Saya memaklumkan kepada Dr Zainal bahawa sampel darah suspek adalah untuk analisis DNA dan ia kes istimewa, oleh itu empat suspek hendaklah diasingkan ketika sampel darah mereka diambil," katanya.

Saksi ke-43 pendakwaan itu berkata, keempat-empat suspek kemudian diasing dan ditempatkan di 'Bilik Mawar' sementara Dr Zainal meminta setiap suspek menandatangani surat kebenaran.

Katanya, sampel darah diambil daripada suspek yang diisi dalam botol dimasukkan ke dalam sampul surat putih dimeterai label Jabatan Kecemasan HKL sebelum diserahkan Dr Zainal kepadanya untuk dibawa balik ke IPKKL.

Menjawab soalan Manoj, Mohd Saad berkata, beliau tidak pasti sama ada Dr Zainal ada menyerahkan apa-apa borang kepadanya untuk dibawa balik ke IPKKL.

Manoj: Kamu serahkan semua suspek dan sampel darah berkenaan kepada siapa sebaik tiba di IPKKL?

Mohd Saad: Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Tonny anak Lunggan.

Manoj: Ada kamu buat borang serahan bahan bukti?

Mohd Saad: Tidak. Saya serahkan saja kepada Tonny.

Manoj: Ketika kamu serahkan beg plastik mengandungi semua sampul berisi sampel darah berkenaan, ada kamu lihat apa-apa dokumen di dalam beg itu?

Mohd Saad: Ada.

Manoj: Adakah itu dokumen yang disertakan oleh Dr Zainal?

Mohd Saad: Saya tidak pasti kerana tidak memeriksanya.

Sementara itu, Dr Zainal yang kini bertugas sebagai Pakar Perubatan Kecemasan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah, berkata beliau hanya dapat mengecam wajah Abdul Razak saja yang sedang duduk di kandang tertuduh, manakala tiga lagi suspek tidak dapat dicamnya.

Dr Zainal berkata, beliau dan pembantunya, M Kuyilan serta jururawat, Izan Azuanamula, mula mengambil sampel darah semua suspek di 'Bilik Mawar' sebaik memperoleh kebenaran.

Katanya, beliau mengambil sampel darah mereka dengan memanggil setiap suspek seorang demi seorang dan selepas itu melabelkan botol berisi sampel darah terbabit sebelum menyerahkannya kepada Kuyilan dan Izan, untuk dimeterai.

Dr Zainal berkata, beliau kemudian menyerahkan semua sampul berisi sampel darah berkenaan kepada Mohd Saad.

Sementara itu, saksi ke-45 pendakwaan, Sarjan Amran Abdul Aziz, 40, dalam keterangannya mengakui membuat kesilapan ketika menulis tarikh penyerahan tiga pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan folio tetamu Hotel Malaya kepada Tonny.

Ia berikutan tarikh tertera pada dua pita rakaman yang diambilnya di pejabat hotel itu pada 10 November 2006, menunjukkan ia diserahkan kepada Tonny pada 6 November 2006 manakala satu pita lagi ditulis 11 November tahun sama.

Pada diari siasatan dan borang serahan barang kes yang disediakan dan ditandatangani Amran serta Tonny pula menyatakan pita itu diserahkan pada 10 November 2006.

Menjelaskan perkara itu kepada Manoj, Amran berkata, tarikh sebenar beliau menyerahkan ketiga-tiga pita rakaman dan folio tetamu hotel kepada Tonny pada 11 November 2006.

Saksi itu berkata, beliau melakukan kesilapan ketika memasukkan tarikh 10 November dan tarikh sama tertera pada diari siasatannya kerana membuat rujukan kepada tarikh penyerahan pita dan folio itu.

Amran berkata, beliau pasti menyerahkan semua barang itu pada 11 November 2006 kerana barang kes itu disimpan selama sehari dalam almari di IPKKL atas arahan Asisten Superintendan Zulkarnain Samsudin, sebelum diserahkan kepada Tonny keesokannya.

Ditanya Manoj berhubung persoalan bagaimana dua tarikh tertera 6 November 2006 ditulis beliau pada dua pita rakaman CCTV terbabit, Amran menjawab: "Tidak pasti".

Perbicaraan bersambung Isnin.

0 comments: