Siti Nadzirah buntu tiada pihak kendalikan kes

Oleh NORHANA SALASHAR BASHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt. – “Saya dah tak tahu nak buat macam mana lagi. Sehingga hari ini tiada seorang pun yang tampil menawarkan diri menjadi peguam bagi kes saya ini.

“Untuk mencari peguam sendiri pula saya tidak mempunyai wang yang cukup,” kata Siti Nadzirah Mohd. Nasir, 20, ibu muda yang terpaksa berpisah dengan anaknya yang berada di Pakistan sejak lebih tiga bulan lalu.

Menurut Siti Nadzirah, sejak Hakim di Mahkamah Tinggi Peshawar, Pakistan membuat keputusan menyerahkan sementara anaknya, Arman Khan Fazal Azim, 11 bulan, kepada suaminya Selasa lalu, dia menjadi semakin runsing.

“Saya takut untuk memikirkan keputusan yang bakal didengar 30 Oktober depan kerana saya tidak diwakili peguam manakala, suami saya mempunyai peguam yang mewakilinya,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Islamabad, Pakistan hari ini.

Pada 23 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Peshawar, Pakistan yang sepatutnya mengumumkan keputusan mengenai hak penjagaan ke atas anak Siti Nadzirah, membuat keputusan menyerahkan bayi itu kepada bapanya, Fazal Azim Abdul Ahad, 24, atas alasan bayi itu tidak mengenali ibunya.

Hakim di mahkamah tersebut mengeluarkan arahan sedemikian dengan alasan bayi yang sudah lebih tiga bulan tidak bertemu dengan ibunya itu menangis ketika didukung selama 20 minit.

Siti Nadzirah yang terkejut dengan keputusan hakim tempoh hari telah merayu supaya dia diberi masa yang lebih lama untuk bersama anaknya.

Sehubungan dengan itu hakim memerintahkan supaya suami Siti Nadzirah menyerahkan Arman Khan kepada beliau Sabtu ini untuk memberinya peluang bermesra dan mengembalikan ingatan bayi itu terhadapnya sebelum perbicaraan semula Selasa depan.

Menurut Siti Nadzirah, beliau tidak tahu apa yang akan berlaku dalam perbicaraan semula itu nanti sekiranya masih tidak mempunyai peguam untuk mewakilinya.

“Saya telah menghubungi Ketua Biro Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong hari ini bagi meminta bantuan tetapi taliannya tidak berapa jelas.

“Jadi saya merayu supaya ada individu yang sudi mewakili saya bagi memastikan supaya satu-satunya anak saya dapat kembali semula ke Malaysia,” katanya.

0 comments: