Erra, Emran diijab kabul

h Serimah Mohd Sallehuddin


DETIK BERSEJARAH: Engku Emran mencium dahi Erra selepas majlis akad nikah di Restoran Puteri, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail, malam tadi.

PETALING JAYA: Dengan sekali lafaz, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, sah menjadi suami pelakon dan penyanyi Erra Fazira atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, di sini malam tadi.

Mereka dinikahkan Pendaftar Nikah dan Cerai Wilayah Persekutuan, Nasroddin Mat Daud dengan berwalikan bapa saudara pengantin perempuan, Burhanuddin Ridzuan dan disaksikan lebih 400 tetamu di Restoran Puteri, di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail di sini.

Air mata gembira mengiringi pernikahan mereka selepas Engku Emran melafazkan akad pada jam 9.10 malam. Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin bernilai RM80 dan dua al-Quran yang diminta pihak pengantin perempuan menggantikan wang hantaran.


Pasangan itu memilih pakaian sedondon putih rekaan pereka terkemuka Radzuan Radziwill. Pada malam itu, pihak lelaki turut menyerahkan tujuh dulang hantaran dibalas sembilan dulang daripada Erra.

Erra dan Emran yang mula berkenalan rapat sejak Jun lalu mengikat tali pertunangan pada 7 September lalu di rumah Erra. Pada majlis pertunangan itu Erra tidak meminta wang hantaran sebaliknya meminta al-Quran sebagai ganti.

Erra yang ditemui selepas majlis pernikahan itu berharap perkahwinan kedua ini akan berkekalan sehingga akhir hayat.





"Saya mahukan perkahwinan ini berkekalan hingga nafas terakhir. Saya inginkan kebahagiaan serta membina keluarga yang sebaik mungkin. Saya berharap dapat menjalani kehidupan rumah tangga seperti orang lain yang penuh dengan kasih sayang," katanya.

Pasangan berkenaan merancang berbulan madu di luar negara akhir tahun ini, tetapi enggan mendedahkan lokasinya.

Pernikahan ini adalah yang kedua bagi Erra dan pertama untuk Emran. Erra pernah berkahwin dengan penyanyi dan pelakon Yusry Abdul Halim pada 15 Jun 2003. Bagaimanapun, perkahwinan mereka hanya bertahan tiga tahun.

Majlis persandingan hanya diadakan oleh pihak lelaki pada 3 November ini.

0 comments: