4 lelaki yang dikaitkan kes rogol dibebaskan

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Empat lelaki warga asing yang ditahan untuk membantu siasatan kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan, Preeshena Varshiny, 9, yang dirogol dan diliwat sebelum dicampak dari tingkat dua sebuah kondominium di Jalan Bukit Idaman, Batu Caves dekat sini pada 1 November lalu dibebaskan semalam.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Senior Asisten Komisioner (SAC) I Mohmad Salleh berkata, kesemua mereka dibebaskan setelah polis berpuas hati dengan siasatan dijalankan.

“Kesemua mereka yang merupakan pekerja di kedai serbaneka kondominium itu dibebaskan setelah siasatan polis mendapati empat warga asing ini tidak terlibat dengan kes tersebut dan mereka dibebaskan hari ini.

“Mereka telah memberi kerjasama sepenuhnya dan polis berpuas hati dengan keterangan yang diberikan,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Empat orang warga asing yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan ditahan sehari selepas kejadian dan siasatan awal mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah di negara ini.

Mohmad bagaimanapun memberitahu, kesemua mereka kini ditahan di bawah akta imigresen kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Jelasnya, tumpuan polis adalah untuk mengesan suspek yang bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut.

“Polis berharap orang ramai bersabar dan memberi kami masa menyiasat kes ini,” jelasnya.

Mangsa yang merupakan murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan St. Mary, Selayang ditemui mati di dalam longkang di kawasan perumahan terbabit kira-kira jam 4 petang.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berpakaian baju T dan berseluar pendek getah tetapi tidak memakai seluar dalam.

Pada mulanya, polis mengklasifikasikan mangsa mati mengejut ekoran dipercayai terjatuh dari bangunan tetapi laporan bedah siasat menunjukkan kematian mangsa mempunyai unsur jenayah.

0 comments: