Rundingan Suu Kyi, junta tiada penyelesaian

BANGKOK: Rundingan junta Myanmar dengan pemimpin demokrasi dalam tahanan, Aung San Suu Kyi dilihat tidak lebih daripada usaha untuk menangkis kritikan berikutan langkah ketat yang diambil terhadap bantahan antikerajaan sebelum lawatan wakil khas PBB, kata penganalisis.

Pemenang hadiah Nobel Keamanan itu kelmarin dibenarkan meninggalkan kediamannya sebentar, tempat dia dikenakan tahanan dalam rumah selama 12 tahun sejak 18 tahun lalu untuk bertemu Menteri Buruh, Aung Kyi, yang ditugaskan untuk mewujudkan hubungan dengan pembangkang.

Walaupun tiada maklumat mengenai masa perbincangan itu disiarkan, imej pertemuan mereka disiarkan melalui televisyen tempatan, selepas Suu Kyi jarang muncul di khalayak ramai.


"Ia adalah penting kerana sekurang-kurangnya tentera dan Aung San Suu Kyi mengadakan rundingan. Namun, kita masih curiga," kata Chaichoke Chulsiriwong, pakar mengenai Myanmar di Universiti Chulalongkorn, Bangkok.

Junta jarang membuat urusan langsung dengan Suu Kyi yang pernah memenangi pilihan raya 1990 melalui parti Liga Demokrasi Kebangsaan, tetapi tidak dibenarkan memerintah.

Mengenai perlantikan Aung Kyi sebagai orang tengah bagi pihak junta ia menunjukkan sekurang-kurangnya pemerintah tentera bersedia untuk meminimumkan hubungan.


"Namun, kita tidak boleh percaya kerajaan tentera ini. Pemerintah akan melakukan apa juga untuk mengurangkan tekanan antarabangsa yang dilihat kuat selepas langkah ketat dilaksanakan mereka," kata Chaichoke.

Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan lebih 2,100 yang lain dipenjarakan oleh pasukan keselamatan selepas tunjuk perasaan antikerajaan membabitkan kumpulan sami Buddha. – AFP

0 comments: