WASHINGTON: Masalah Presiden George W Bush menyebut perkataan sukar makin terdedah kepada umum selepas pegawai Rumah Putih tersilap memberi salinan teks belum disunting ucapannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berserta ejaan fonetik.
Skrip ucapan Bush di Perhimpunan Agung PBB yang disertai 192 negara itu, yang secara tidak sengaja diedarkan kepada wartawan, mendedahkan dia diberikan panduan fonetik untuk menyebut beberapa nama asing termasuk negara dan pemimpin mereka.
Antara yang terkandung dalam ucapan itu ialah ejaan fonetik bagi Kyrgyzstan, 'Keyr-geez-stan', nama Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe dengan nama keluarga presiden itu dieja sebagai 'Moo-gah-bee' dan nama sekutu barunya, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang dieja 'Sar-kozee'.
Bagaimanapun, dia tidak diberikan bantuan untuk menyebut dengan ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, nama yang sepatutnya disebut dengan betul.
Bush tidak asing lagi dengan tersilap menyebut perkataan tertentu. Dia mengalami masalah terutama dengan perkataan 'nuklear', selalu tersasul menyebut istilah yang digabungkan seperti 'misunderestimate' dan pernah terlupa nama Presiden Pakistan, Pervez Musharraf.
Bekas penulis ucapan Bush, David Frum, berkata semua ucapan presiden mengandungi panduan fonetik, tetapi memberikan versi belum disunting kepada wartawan akan dilihat sebagai kesilapan tidak disengajakan.
Di sebalik masalah itu, ucapan Bush disifatkan sebagai petah. Bush menggesa negara anggota PBB menyertai 'misi pembebasan' dan meramalkan bahawa 'pemerintah lama pemerintah zalim hampir tiba di penghujung' di Cuba.
Kenyataan itu, menaikkan kemarahan delegasi Cuba, yang bangun meninggalkan dewan serta menyifatkan ucapan itu sebagai 'angkuh'. - Agensi
0 comments:
Post a Comment