Abdul Hamid pangku jawatan Ketua Hakim Negara

Oleh Rozaman Ismail dan Helmi Mohd Foad


ABDUL HAMID.

PUTRAJAYA 1 Nov. – Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad akan memangku jawatan Ketua Hakim Negara berikutan persaraan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim mulai semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan perkara itu berkata, Abdul Hamid memangku jawatan tersebut mulai hari ini sehingga pengisian tetap dibuat.

“Mengenai Tun Fairuz, beliau telah bersara dan kita ucapkan terima kasih kepada beliau atas sumbangan cemerlang yang diberikan kepada sistem kehakiman negara.

“Diharap beliau akan dapat terus memberikan apa jua sumbangan kepada negara pada masa depan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat dua angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Mejar Dr. Faiz Khaleed di pejabatnya di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan di sini menyebut, mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91), sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan Ketua Hakim Negara, kuasa itu boleh dilaksanakan oleh Presiden Mahkamah Rayuan.

“Pengisian secara hakiki bagi jawatan berkenaan akan dilakukan secepat mungkin,” kata kenyataan itu.

Ahmad Fairuz yang mencapai usia 66 tahun semalam, usia persaraan wajib bagi hakim-hakim seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 17 Mac 2003

Beliau yang dilahirkan pada 1 November 1941 memulakan tugas dalam badan kehakiman sebagai majistret pada 1 Jun 1967 di Pulau Pinang.

Dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesyen di Kuantan, Pahang diikuti sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Johor dan Kuala Lumpur beberapa tahun kemudian.

Beliau turut menimba pengalaman sebagai Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Penasihat Undang-Undang Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah/Perlis dan Timbalan Penggubal Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara.

Pada 1 Disember 1988, Ahmad Fairuz dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman diikuti sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Ogos 1990.

Lima tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan (1 September 2000), Hakim Besar Malaya (1 September 2001), Presiden Mahkamah Rayuan (1 Disember 2002) dan Ketua Hakim Negara (17 Mac 2003).

0 comments: