Ancaman AS: Rakyat Iran didesak berwaspada

TEHERAN 1 Nov. – Bekas Presiden Iran yang masih berpengaruh, Akbar Hashemi Rafsanjani hari ini mengingatkan seluruh rakyat negara ini supaya berwaspada terhadap sebarang tindakan luar biasa yang diambil oleh musuh ketatnya, Amerika Syarikat (AS).

Washington tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ketenteraan ke atas Iran berhubung program nuklearnya sekalipun White House menegaskan krisis itu mahu diselesaikannya menerusi diplomasi.

“Sejak revolusi Islam 1979, musuh- musuh telah menjalankan pelbagai komplot tetapi situasi seperti sekarang belum pernah berlaku sebelum ini.

“Kerana itu semua pihak mesti sentiasa berjaga-jaga,” kata Akbar seperti yang dipetik oleh agensi berita IRNA.

Beliau menggambarkan pergerakan dan kehadiran tentera AS dan sekutunya di rantau ini sebagai sesuatu yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

“Begitu juga halnya dengan kewujudan suasana takut dan mengancam,” kata beliau dalam ucapan kepada para komander tentera.

Peringatan Akbar itu bercanggah dengan retorik lawan politiknya, Presiden Mahmoud Ahmadinejad yang menolak dakwaan bahawa Amerika akan menyerang Iran.

Mahmoud menganggap tentera AS terlalu sibuk di Iraq untuk melancarkan serangan baru.

Malah dalam kenyataannya pada September lalu, Mahmoud berkata, kemahiran matematiknya sebagai jurutera dan keyakinannya kepada Tuhan menyebabkan beliau pasti tentera AS tidak akan melancarkan serangan.

– AFP

0 comments: