Siti dapat paru-paru, jantung baru

Oleh WAN SYAMSUL AMLY dan MUZDALIFAH MUSTAPHA


Siti Salmah Jasni.

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Siti Salmah Jasni, 18, yang menderita penyakit Hipertensi Pulmonari sejak lima tahun lalu malam ini menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru yang disumbangkan oleh seorang penderma wanita yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Gadis itu menjalani pembedahan selama lapan jam bermula tengah malam ini. Dia dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk persediaan pembedahan tersebut pada pukul 5 petang tadi sebaik sahaja tiba dari Kulai, Johor.

Dalam sejarah IJN, inilah kali pertama jantung dan paru-paru dipindahkan secara serentak ke tubuh seorang pesakit.

Organ jantung dan paru-paru untuk Siti Salmah dibawa ke sini dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mendarat di Subang dekat sini pada pukul 12 malam.

Dari Subang, organ-organ itu dikejarkan dengan ambulans ke IJN. Ketika itu Siti Salmah telah pun berada dalam dewan pembedahan untuk memulakan prosedur pemindahan jantung dan paru-paru baru itu.

Pesawat C-130 TUDM itu membawa bersama sepasukan 19 pegawai perubatan dan jururawat.

Antara pegawai perubatan yang terlibat dalam operasi pembedahan kali ini ialah Pengarah Klinikal Unit Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr. Mohamed Ezani Md. Taib serta pakar bedah Dr. Suhaini Kadiman, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar dan Dr. Ashaari Yunus.

Ahli-ahli keluarga gadis itu berkumpul di IJN sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kesediaan sebuah keluarga dari Kedah mendermakan organ seorang anggota keluarga mereka yang mati otak selepas kemalangan jalan raya beberapa hari lalu.

Siti Salmah menunggu organ yang sesuai dengan tubuhnya sejak lima tahun lalu. Kali terakhir dia menjalani rawatan rutin bulanannya di Institut Perubatan Respiratori (IPR) dan IJN ialah pada Isnin lepas.

‘‘Mereka (keluarga Siti Salmah) nampak gembira walaupun kelihatan sedikit tertekan menjelang pembedahan ini,” kata seorang pegawai IJN.

Kisah Siti Salmah, pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai yang menunggu jantung dan paru-paru dipaparkan dalam Utusan Malaysia dua minggu lalu. Sejak itu pelbagai usaha dilakukan untuk membantunya mendapatkan organ baru sebagaimana pesakit jantung Tee Hui Yee yang selamat menjalani pembedahan pada awal bulan Oktober.

Sebelum dibedah, Siti Salmah yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik terpaksa menggunakan tangki oksigen yang perlu ditukar setiap enam jam bagi kegunaannya ketika berjalan-jalan dan semasa tidur.

0 comments: