Langkah pertama jana industri angkasa lepas

PUTRAJAYA 1 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan kejayaan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha membuka langkah lebih besar dalam usaha menjadikan industri angkasa lepas sebagai bidang yang dapat memberi banyak kebaikan kepada negara.

Beliau menegaskan, kejayaan tersebut menjadikan Malaysia maju selangkah ke hadapan dalam industri berkenaan sekali gus menjadikan bangsa Malaysia lebih megah.

‘‘Misi seperti ini menjadi langkah pertama ke arah langkah yang lebih banyak. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Sheikh Muszaphar,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan dua angkasawan negara, Sheikh Muszaphar dan Mejar Dr. Faiz Khaleed di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Abdullah, pemergian angkasawan pertama negara itu bukan sahaja membawa kebaikan kepada dirinya sendiri tetapi apa yang penting sekali ialah memenuhi kehendak misi.

Katanya, walaupun misi berkenaan singkat dan Sheikh Muszaphar kembali ke bumi dalam keadaan yang mencemaskan akibat terhempas tetapi segala bahan ujian yang dibawa semuanya selamat dan boleh digunakan.

‘‘Jadi tak sia-sia kerana semuanya ada dan boleh digunakan oleh saintis untuk buat penyelidikan lanjut dan mengetahui pelbagai perkara daripada ujian itu.

‘‘Dalam hal ini saya tentu sekali rasa gembira kerana Sheikh Muszaphar dapat menjalankan eksperimen. Dia bukan seorang pelancong yang hendak pergi ke angkasa lepas,” katanya.

Mengenai tawaran untuk menyertai misi-misi lain pada masa hadapan, Perdana Menteri berkata, cadangan dan tawaran itu akan dipertimbangkan dari semua aspek seperti kos dan faedah yang akan diperoleh.

Oleh itu, katanya, para saintis perlu bergabung untuk menentukan kandungan misi serta faedah-faedah yang boleh diperoleh daripada misi itu.

‘‘Ini tidak bermakna Sheikh Muszaphar tidak akan terlibat lagi kerana beliau menjadi angkasawan yang ada pengalaman pertama.

‘‘Tetapi kalau diperlukan seorang yang belum ada pengalaman tetapi ada kebolehan dan kemampuan untuk menyertainya, kita ada Dr. Faiz,” katanya.

Abdullah turut gembira dan bangga kerana pada hari ini, buat pertama kali dalam sejarah negara, seorang angkasawan masuk ke Pejabat Perdana Menteri untuk membuat kunjungan hormat.

Sementara itu, pada sidang akhbar berkenaan, Sheikh Muszaphar menyampaikan beberapa cenderahati kepada Perdana Menteri iaitu sebuah al-Quran kecil yang dibacanya semasa berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Sepanjang berada di angkasa lepas, Sheikh Muszaphar sempat membaca 40 muka surat al-Quran itu termasuk Surah al-Kahfi.

Selain itu, beliau menghadiahkan sebuah bingkai mengandungi Jalur Gemilang mini, Rukun Negara, logo Jata Negara, logo Program Angkasawan Negara dan gambar kenangan yang telah dibawa ke angkasa lepas.

Beliau juga menghadiahkan jaket kulit Program Angkasawan Negara yang dipakainya sepanjang tempoh setahun menjalani latihan misi angkasa lepas.

0 comments: