PM minta saintis mula cari pengisian misi kedua

Oleh Wan Hazmir Bakar dan Shamshul Azree Samshir


INGIN MENCUBA: Abdullah mencuba jaket milik Sheikh Muszaphar sambil dibantu Faiz (kiri) dan Jamaluddin (kanan) yang mengunjunginya di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya, semalam.

Kejayaan program angkasawan pertama cetus langkah lebih besar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu saintis tempatan mula mengenal pasti pengisian misi kedua program angkasawan Malaysia pada masa depan.

Sambil menyifatkan kejayaan misi angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, sebagai pencetus langkah lebih besar untuk negara dalam bidang industri aeroangkasa, Abdullah berkata, kerajaan sedang menimbang tawaran untuk misi seterusnya.

"Memang saya sebut pada malam saya berhubung secara langsung dengan Dr Sheikh Muszaphar dan saya sudah pun katakan kita berminat menghantar lagi seorang angkasawan kita, Mejar Dr Faiz Khaleed untuk terbabit dalam misi kedua.


"Apa yang hendak kita lakukan pada masa itu bergantunglah kepada apa yang dapat kita rancang bersama. Kita sangat mengharapkan kepada saintis kita, mungkin dengan gabungan dan kerjasama saintis lain,� katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan dua angkasawan negara itu di pejabatnya di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Sambil menyatakan kegembiraan kerana itu kali pertama sejarah angkasawan negara memasuki Pejabat Perdana Menteri, Abdullah berkata, beliau yang mewakili rakyat Malaysia bangga kerana Dr Sheikh Muszaphar berjaya mengangkat martabat bangsa dan negara.


Katanya, Dr Sheikh Muszaphar juga masih boleh terbabit dalam misi angkasa lepas negara pada masa depan jika pengalaman beliau diperlukan, walaupun negara mempunyai angkasawan kedua.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada beliau kerana menjadikan bangsa kita lebih megah. Kita dapat maju setapak lagi dalam usaha menjadikan industri angkasa lepas sebagai bidang yang akan memberi lebih banyak kebaikan kepada negara pada masa depan," katanya.

Abdullah berkata, beliau bersyukur Dr Sheikh Muszaphar selamat kembali, walaupun pendaratan kapsul kapal angkasa Soyuz TMA-10 di Kazakhstan, berlaku dalam keadaan mencemaskan.

"Mujurlah walaupun kembalinya kapal angkasa itu ke bumi dalam keadaan mencemaskan, tetapi barang yang dibawa dan digunakan untuk ujian semuanya selamat dan boleh digunakan. Maka, tidak sia-sialah kerana semuanya ada dan dapat digunakan oleh saintis untuk membuat penyelidikan lanjut," katanya.

Pada majlis itu, Dr Sheikh Muszaphar menyerahkan pelbagai barang dibawa ke stesen angkasa, iaitu Jata Negara, Logo 50 Tahun Kemerdekaan Negara, Rukun Negara, lencana Jalur Gemilang, Jalur Gemilang serta sampul surat yang tertera gambar beliau dengan dua lagi angkasawan iaitu Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat (AS) dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko dari Russia.

Dr Sheikh Muszaphar juga menyerahkan senaskah al-Quran dibacanya di ISS dan jaket kulit yang digunakan sepanjang latihan selama setahun.

0 comments: