Pekan kecil di Texas dilelong dalam eBay

SAN ANTONIO, Texas 1 Nov. – Pekan kecil Albert di Texas, Amerika Syarikat (AS) kini dilelong pada harga permulaan AS$2.5 juta (RM8.18 juta) menerusi laman web eBay Inc.

Menurut pemiliknya, Bobby Cave, 47, dia sudah bersedia untuk berpindah mencari pengalaman baru setelah membelanjakan beratus-ratus ribu dolar untuk membersihkan dan memulihkan Pekan Albert tersebut.

Pekan seluas 5 1/4 hektar itu terletak kira-kira 80 kilometer ke utara San Antonio, Texas.

“Pekan ini unik dan mempunyai konsep yang tersendiri.

“Albert bukan sekadar sebuah hartanah, tetapi ia lebih seperti satu bentuk seni dan kerana itulah a dilelong melalui eBay,” ujar Cave yang juga seorang ejen hartanah di sini.

Menurut Cave, Albert yang dibangunkan pada lewat 1800-an, layak dinamakan sebagai sebuah pekan atau sekurang-kurangnya pernah menjadi sebuah pekan kerana ia mempunyai sebuah pejabat pos pada suatu ketika dahulu.

“Albert mempunyai papan tanda yang mempunyai nama bagi menunjukkan lokasi sesuatu tempat.

“Walaupun pejabat pos itu sudah tiada lagi tetapi Albert masih berdiri kukuh hingga hari ini,” tambah Cave.

Tiada siapa tinggal secara kekal di Albert tetapi sebuah rumah tumpangan yang dibina oleh Cave di tapak sebuah kedai lama dibuka pada hujung minggu.

Beliau berkata, Albert mempunyai “tandas awam paling bersih di Texas,” dan juga sebuah astaka, dewan tari-menari yang berusia 85 tahun, bangsal dan sebuah rumah yang mempunyai tiga bilik tidur.

“Kesemua kemudahan itu dan juga dusun buah pic dan kacang pecan dijual bersama-sama tanahnya,” jelas Cave.

Lelongan eBay itu akan ditutup pada 23 November ini.

Seminggu selepas ia dibuka, tawaran pertama diterima berjumlah AS$300,000 (RM981,300), tetapi Cave menganggapnya terlalu murah daripada harga yang beliau tetapkan.

– AP

0 comments: