Pelajar 15 tahun didakwa membunuh

KLANG 1 Nov. – Genap 14 hari seorang pelajar tahun satu dilaporkan meninggal dunia akibat ditikam gara-gara mengacau seekor ayam belanda milik jirannya, seorang pelajar berusia 15 tahun hari ini dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini atas tuduhan membunuh.

Prosiding terhadap pelajar terbabit dibuat secara tertutup di hadapan Majistret Nor Aziati Jaafar kerana dia merupakan tertuduh di bawah umur.

Pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail menyebut: Pelajar berkenaan didakwa telah membunuh dengan sengaja hingga menyebabkan kematian Muhamad Khairul Nizam Riza Azmi, 7, pada pukul 4.30 petang, 19 Oktober lalu di bilik utama Tingkat 2, Rumah Kosong, No. 45, Jalan Kiyai Sujak 17, Taman Perangsang, Kapar di sini.

Pelajar itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Nor Aziati tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada pelajar itu yang diwakili peguam Zainal Omar.

Dia kelihatan menangis dari mula tiba di mahkamah lebih-lebih lagi apabila bertemu ahli keluarganya yang sudah menanti.

Mohd. Nordin ketika ditanya memberitahu, kes itu akan disebut semula pada 13 Disember depan bagi memberi peluang kepada pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan asid deoksiribonukleik (DNA).

Pihak pembelaan memohon supaya dia dihantar berjumpa pakar psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.

Permohonan tersebut bagaimanapun dibantah oleh pendakwaan kerana untuk menghantar seseorang menjalani pemeriksaan mental ianya memerlukan asas dan mesti disokong dengan rekod perubatan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, gara-gara mengacau seekor ayam belanda milik jiran, mangsa telah ditikam dalam kejadian di sebuah rumah kosong.

Kanak-kanak malang itu dilaporkan mengalami pendarahan serius setelah ditikam di pipi kanan, perut dan belakang badan dengan kaca tajam oleh pemilik ayam terbabit selepas dikatakan ingin membalas dendam kerana mangsa mengacau ayam kesayangannya.

0 comments: