Tiga tuduhan -- Ramli gagal isytihar harta, saham 154,000 unit, terlibat perniagaan

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM


RAMLI Yusuff ditemani isteri, Anita Harun dan anak perempuan mereka meninggalkan mahkamah selepas menghadapi tiga tuduhan di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam. – Gambar HAFIZ JOHARI.

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan gagal mengisytiharkan harta berupa dua petak ruang pejabat dan 154,000 unit saham serta terlibat dalam perniagaan.

Ramli, 55, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding mengaku tidak bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan itu selepas ia dibaca secara berasingan di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa tidak mendedahkan maklumat melalui pernyataan bertulis secara bersumpah bertarikh 17 September lalu berkenaan dua ruang pejabat iaitu Lot 144, Seksyen 44, petak 127 dan 128 yang bernilai RM1,032,840 di Tingkat 4, Bangunan M1-B, Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng di sini.

Kedua-dua harta itu dipegang oleh dua pengarah sebuah syarikat pelaburan, Bonus Circle Sdn. Bhd. iaitu Rohmah@Hasmah Yusuff yang merupakan kakak tertuduh serta adiknya, Ruslina Yusuff.

Dia juga didakwa tidak mendedahkan maklumat berkenaan saham yang dimilikinya di dalam sebuah syarikat hartanah, Permaju Industries Sdn. Bhd. sebanyak 154,000 unit sebagaimana yang dikehendaki oleh pendakwa raya melalui notis bertarikh 17 Julai lalu.

Ramli didakwa melakukan semua perbuatan itu di pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Ibu Pejabat Badan Pencegahan Rasuah (BPR) Putrajaya, pada 17 September lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 32(1)(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Ramli sebagai penjawat awam turut didakwa di bawah Seksyen 168 Kanun Keseksaan kerana melibatkan diri dalam perniagaan Kinsajaya Sdn. Bhd. sebagai pengarah syarikat itu pada 25 April lalu.

Perbuatan itu bertentangan dengan Peraturan 5(1)(a), Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan 2002) yang mana dia boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi memohon agar mahkamah menetapkan jumlah ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin.

Beliau yang memaklumkan akan memanggil 20 saksi bagi kes gagal isytihar harta dan 15 saksi bagi kes terlibat dalam perniagaan turut mencadangkan agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam bela, Datuk K. Kumaraendran bagaimanapun memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan bon peribadi atas alasan tertuduh merupakan pegawai kanan polis yang telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih dari 30 tahun.

Katanya, penyerahan pasport itu juga akan menyukarkan anak guamnya yang akan berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah pada Sabtu ini serta mengerjakan fardu haji pada minggu pertama Disember ini.

“Kerjayanya dalam PDRM kini tergugat berikutan tuduhan ini. Dakwaan ini menimbulkan prasangka terhadap perwatakan dan kewibawaannya sebagai pegawai kanan polis.

“Tertuduh mahu memulihkan nama baiknya dan tidak akan lari. Ini menjadikan sebab untuk beliau hadir dan melawan pertuduhan ,” katanya.

Mohamad Jazamuddin bagaimanapun memberitahu pasport hanya diserahkan selepas tertuduh selamat menunaikan haji dan umrah. Beliau turut mempersoalkan perbezaan tertuduh dengan tertuduh yang lain sehingga dia tidak perlu menyerahkan pasportnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Ramli dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM20,000 dan menetapkan perbicaraan selama empat hari bermula 15 Januari 2008 bagi tuduhan pertama dan kedua dan sebutan bagi tuduhan ketiga.

Ramli yang memakai kot biru gelap dibawa masuk ke mahkamah pada pukul 3.10 petang ditemani isterinya, Datin Anita Harun yang juga Hakim Mahkamah Sesyen di sini dan seorang anak perempuan mereka.

Ruang kaki lima mahkamah dipenuhi jurufoto yang berebut-rebut untuk merakam wajah Ramli sehingga menyukarkan pihak BPR untuk mengiringi tertuduh ke bilik bicara.

Galeri awam mahkamah juga penuh sesak dengan kehadiran media, anggota serta rakan-rakan tertuduh dan lain-lain yang mana sebahagiannya terpaksa berdiri untuk mengikuti prosiding itu.

Anggota dan pegawai polis yang bertugas di mahkamah juga masing-masing dilihat menghampiri dan bersalaman dengan Ramli.

Rosli Dahlan, 46, peguam yang dikaitkan dengan Ramli dan didakwa pada 12 Oktober lalu atas kesalahan yang sama juga hadir dan mengambil tempat di sebelah Anita.

Kumaraendran semasa ditemui selepas prosiding memberitahu anak guamnya akan didakwa atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Sabah pada 19 November ini.

Ramli kemudian dibebaskan dengan ikat jamin setelah seorang rakannya mengemukakan wang jaminan.

0 comments: