KLANG: Seorang remaja berumur 15 tahun didakwa di Mahkamah Juvana di sini semalam atas tuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun pada 19 Oktober lalu.
Remaja lelaki yang tinggal selang beberapa buah rumah dari rumah mangsa mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Majistret Nor Aziati Jaafar menetapkan 13 Disember untuk kes disebut semula dan memberi peluang pendakwa memperoleh laporan bedah siasat serta DNA mangsa, Mohd Khairul Nizam Riza Azmi.
Remaja yang ditahan sejurus kejadian itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kematian Mohd Khairul Nizam.
Mengikut kertas pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh Mohd Khairul di bilik utama tingkat dua sebuah rumah kosong di Kapar pada jam 4.30 petang 19 Oktober lalu.
Sebelum itu, peguam bela tertuduh, Zainal Omar memohon kebenaran mahkamah menghantar remaja itu mendapatkan pemeriksaan psikiatri tetapi dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail.
Mohd Nordin berkata, pembela perlu mendapatkan surat sokongan hospital terlebih dulu bagi membuktikan kepada mahkamah yang tertuduh perlu menjalani pemeriksaan mental.
Sementara itu, tertuduh menangis dipercayai mengalami tekanan perasaan sebaik prosiding selesai dan beberapa anggota polis serta peguam terpaksa memujuk tertuduh selepas dia enggan keluar dari bilik mahkamah dipercayai terkejut dengan kehadiran petugas media.
Tertuduh sebelum ini direman hampir dua minggu bagi membantu siasatan termasuk memburu seorang lagi suspek yang didakwa tertuduh terbabit dalam pembunuhan itu.
Polis bagaimanapun mengesahkan suspek kedua tidak wujud dan tertuduh sengaja mereka cerita bagi mengelirukan polis.
Laporan akhbar sebelum ini menyebut Mohd Khairul Nizam dibunuh dengan serpihan kaca kerana mengganggu ayam belanda peliharaan tertuduh.
0 comments:
Post a Comment