Oleh Wan Hazmir Bakar, Shamsul Azree Shamshir, Munira Yusoff dan Ahmad Johari Mohd Ali
KUALA LUMPUR: Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad, dilantik sebagai pemangku Ketua Hakim Negara berkuat kuasa semalam sehingga kekosongan jawatan berkenaan diisi.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam menjelaskan, mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91), sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan Ketua Hakim Negara, kuasa itu boleh dilaksanakan oleh Presiden Mahkamah Rayuan.
Kenyataan itu menjelaskan pengisian secara hakiki bagi jawatan berkenaan akan dilakukan secepat mungkin. Jawatan itu kosong berikutan persaraan wajib Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, mulai kelmarin.
Sementara itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang ditemui pemberita selepas menemui angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Mejar Dr Faiz Khaleed, berkata pelantikan Abdul Hamid sebagai pemangku Ketua Hakim Negara dibuat mengikut peraturan sedia ada.
"Mengikut peraturan, kekosongan jawatan itu perlu diisi dan kita melantik Presiden Mahkamah Rayuan sebagai pemangku sementara tindakan diambil untuk mengisi jawatan itu secara tetap," katanya.
Abdullah juga mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Fairuz atas sumbangan cemerlang beliau terhadap sistem kehakiman negara serta berharap bekas Ketua Hakim Negara itu terus memberi sumbangan kepada negara pada masa depan.
Abdul Hamid, 65, yang dilantik Presiden Mahkamah Rayuan pada 29 September lalu, ketika dihubungi berkata beliau masih belum dimaklumkan secara rasmi mengenai pelantikan itu.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu bukan mengejutkan kerana Presiden Mahkamah Rayuan memang mempunyai tanggungjawab itu ketika Ketua Hakim Negara tiada atau sakit.
"Itu memang antara bidang tugas Presiden Mahkamah Rayuan yang diperuntukkan undang-undang. Bagaimanapun, saya tidak tahu apa-apa mengenai sebarang keputusan mutlak berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara yang baru. Saya rasa eloklah perkara itu ditentukan pihak berkenaan," katanya.
Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan, ketika dihubungi menganggap pelantikan Abdul Hamid sebagai wajar.
"Pelantikan berkenaan dialu-alukan tetapi kekosongan itu masih perlu diisi secepat mungkin bagi memastikan kelancaran sistem kehakiman. Lebih wajar jika ada pengganti yang sudah bersedia mengambil alih tugas itu," katanya.
Beliau berkata, perlantikan itu perlu dilakukan segera bagi mengelak persepsi negatif orang ramai jika jawatan itu terus dibiarkan kosong seperti isu kekosongan jawatan Hakim Besar Malaya sebelum ini.
Jawatan berkenaan kosong hampir lapan bulan selepas Tan Sri Siti Norma Yaakob bersara wajib, mulai awal tahun ini sebelum diisi Datuk Alauddin Mohamed Sheriff pada 29 September lalu.
Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah pula berkata, pengganti Ahmad Fairuz sewajarnya diumumkan sebelum beliau bersara bagi mengelak sebarang spekulasi.
"Mungkin kontroversi baru-baru ini adalah antara sebab yang menyukarkan pelantikan seorang ketua hakim baru, tetapi apa pun keputusan yang dibuat ia memang akan menjadi perhatian orang ramai kerana membabitkan institusi kehakiman.
"Saya berharap pengganti baru akan diumumkan minggu ini bagi menamatkan sebarang persoalan," katanya.
Presiden Persatuan Peguam Muslim, Tan Sri Abu Zahar Ujang, berkata pelantikan Abdul Hamid tepat dan wajar berdasarkan kelayakan Presiden Mahkamah Rayuan itu dan pengalamannya yang luas dalam bidang kehakiman.
"Sebagai presiden, saya amat mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri berhubung pelantikan itu. Bagaimanapun yang paling penting, individu yang memegang jawatan terbabit dapat memartabatkan institusi badan kehakiman.
"Harapan saya semoga masalah yang melanda badan kehakiman dapat diselesaikan dan berlaku perubahan positif dalam institusi itu bagi mengembalikan keyakinan orang ramai," katanya.
0 comments:
Post a Comment