Benazir temui keluarga di Dubai

KARACHI 1 Nov. – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto berlepas ke Dubai hari ini untuk menemui keluarganya, dua minggu selepas beliau kembali ke tanah air daripada kehidupan dalam buangan.

Rancangan perjalanan Benazir menjadi sumber kekeliruan sejak kepulangannya pada 18 Oktober lalu ‘disambut’ dengan serangan pengebom berani mati yang membunuh 145 orang di Karachi.

Baru malam tadi bekas Perdana Menteri itu memberitahu wartawan, beliau membatalkan rancangan untuk menemui keluarganya di Dubai kerana beliau ada mendengar khabar angin bahawa kerajaan mungkin mengisytiharkan keadaan darurat semasa ketiadaannya.

Bagaimanapun pegawai Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Benazir hari ini berkata, beliau sudah meninggalkan kediamannya di Karachi dan berlepas ke Dubai.

“Beliau sudah pergi ke Dubai untuk menemui ibunya yang uzur dan suami serta anak-anaknya dan akan kembali pada 8 November,” kata pembantu Benazir, Agha Siraj Duranni.

Pada sidang media malam tadi Benazir mendedahkan, pegawai kanan parti itu memberitahu, Presiden Pervez Musharraf mungkin mengisytiharkan keadaan darurat jika Mahkamah Agung mendapati kemenangan beliau pada pemilihan Presiden baru-baru ini menyalahi perlembagaan.

Mahkamah Agung dijangka membuat keputusan lewat minggu ini.

Kerajaan bagaimanapun menafikan sebarang rancangan untuk mengambil langkah darurat.

“Saya memang mahu pergi ke Dubai tetapi apabila timbul khabar angin itu, saya memutuskan untuk menukar program,” kata Benazir.

Beliau menegaskan, pihak beliau tidak akan menerimanya jika keadaan darurat dikenakan.

“Jika hak-hak asasi manusia digantung, kami tidak akan menerimanya.

“Negara ini tidak akan menerimanya dan saya tahu parti politik lain pun tidak akan menerimanya,” ujar beliau.

Keputusan Mahkamah Agung nanti adalah kritikal dalam menentukan perkembangan seterusnya di negara ini.

Perisytiharan keadaan darurat akan menggendalakan peralihan kepada pemerintahan awam dan menjejaskan prospek Benazir dan Pervez membentuk perikatan memerangi fahaman ekstremis.

Benazir kembali ke tanah air selepas Pervez menandatangani perintah pengampunan yang menggugurkan kes-kes rasuah terhadap beliau dan ahli politik serta birokrat lain.

Beliau dan Presiden diharap dapat membentuk perikatan pro-Barat bagi memerangi puak pelampau.

– AP

0 comments: