Oleh Hamid Salleh
YANG Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengesahkan penyertaan pada kejohanan kuda lasak Sultan Cup Endurance Challenge (SCEC) 2007 yang akan diadakan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong, Setiu mulai 9 November ini.
Tuanku Mizan yang menduduki tempat kedua di kejohanan kuda lasak di negara Timur Tengah, tahun lalu dijangka mampu memberi saingan kepada peserta handalan dari luar negara.
Baginda turut berkenan melakukan upacara perasmian kejohanan yang turut disertai 40 peserta termasuk 20 peserta luar negara kira-kira jam 9 malam, 9 November ini.
Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah turut berkenan berangkat ke majlis itu.
Peserta luar negara termasuk jaguh kuda lasak dunia nombor satu dari Sepanyol, Maria Mercedes Alvarez Ponton dan Jack Begaud dari Perancis yang menduduki ranking ketiga dunia tiba di Terengganu sejak 28 Oktober lalu untuk membuat persiapan awal.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Datuk Din Adam berkata, beberapa lagi penunggang kuda hebat termasuk ranking ketiga dunia, Mercedes Tapia dari Argentina juga memberi isyarat untuk turut serta.
Beliau berkata, peserta dari Qatar, Essa Ahmed Al Mannal yang menduduki ranking ke-67 dunia bersama dua rakan senegaranya juga menyatakan persetujuan untuk mengambil bahagian.
“Sembilan negara, Argentina, Brazil, Amerika Syarikat, Jepun, Sepanyol, Itali, Perancis, Belgium dan Qatar sudah mengesahkan penyertaan mereka,” katanya pada sidang media di Terengganu Equestrian & Country Club (TER) di Kuala Terengganu, semalam.
Din berkata, seramai 21 peserta negara termasuk lima dari Terengganu akan mengambil bahagian kali ini.
“Kejohanan SCEC adalah persediaan awal Terengganu untuk menjadi tuan rumah dalam Kejohanan Dunia dijangka diadakan tahun depan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment