SEREMBAN: Tugas Datuk Ramli Yusuff sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman mungkin digantung sementara menunggu kes terhadapnya diputuskan oleh mahkamah, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Najib Abd Aziz.
Katanya, tindakan menggantungkan kerja adalah prosedur biasa dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana pegawai atau anggota yang sedang menghadapi tuduhan di mahkamah akan ditahan kerja.
“Kita cuma buat peraturan biasa sahaja seperti ditetapkan oleh Perintah Am. Selepas kes mahkamah selesai nanti, terpulang kepada pucuk pimpinan PDRM untuk memikirkan tindakan ke atas beliau,” katanya kepada pemberita sempena lawatan persaraannya ke Ibu Pejabat Polis Kontingen Negeri Sembilan hari ini.
Najib dijangka bersara mulai 13 November ini. Bagaimanapun, penggantinya belum diumumkan lagi.
Katanya tindakan ke atas Ramli serta beberapa dakwaan rasuah terhadap pegawai-pegawai kanan PDRM sejak kebelakangan ini tidak akan menjejaskan moral anggota polis tetapi mengakui ia telah menjejaskan imej pasukan itu.
Ditanya sama ada tugas Ramli akan dipangku oleh timbalannya, Najib berkata ia terpulang kepada arahan Bukit Aman.
Semalam, Badan Pencegah Rasuah (BPR) mendakwa Ramli di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan iaitu tidak mendedahkan maklumat sebenar harta dan saham miliknya dan pembabitan beliau sebagai penjawat awam dalam perniagaan.
Ramli, 55, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-ketiga tuduhan itu dan dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan 15 Jan depan.
Ramli, yang menyertai PDRM pada 1979, adalah pegawai tertinggi polis yang didakwa BPR setakat ini. — Bernama
0 comments:
Post a Comment