Datuk Ramli kena 3 tuduhan

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Hardi Effendi Yaacob dan Norhashimah Mohd Radzali


KENA DAKWA: Ramli ditemani isteri dan anaknya (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan didakwa atas dua tuduhan tidak mendedahkan maklumat sebenar harta dan saham miliknya, manakala satu lagi menjadi pengarah sebuah syarikat.

Pengarah JSJ boleh dipenjara 20 tahun jika salah

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, petang semalam atas tiga tuduhan - dua kerana tidak mendedahkan maklumat sebenar harta dan saham miliknya, manakala satu lagi menjadi pengarah sebuah syarikat.

Ramli, 55, yang ditahan selepas datang ke Ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR), Putrajaya, kira-kira jam 11.45 pagi, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga tuduhan itu. Beliau yang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1979, adalah pegawai tertinggi polis yang didakwa BPR setakat ini.


Dalam pertuduhan pertama, Ramli didakwa tidak mendedahkan maklumat sebenar hartanya iaitu dua ruang pejabat, Unit B-3A-9 dan Unit B-3A-8, Bangunan Megan Avenue II, Jalan Yap Kwan Seng di sini. Kedua-dua hartanah itu ketika perolehan bernilai RM1,032,840.

Harta berkenaan dipegang oleh kakak dan adik tertuduh, Rohmah @ Asmah dan Roslina, yang juga dua pengarah syarikat pelaburan, Bonus Circle Sdn Bhd. Maklumat itu tidak didedahkan seperti dikehendaki pendakwa raya melalui notis mengikut Seksyen 32 (1)(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bertarikh 17 Julai lalu.

Notis itu mengkehendaki Ramli memberi pernyataan benar secara bertulis dengan bersumpah mengenai setiap harta dimilikinya, sama ada harta itu dialih atau tidak, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan dan pendapatan daripadanya.


Ramli juga menghadapi tuduhan kedua tidak mendedahkan maklumat mengenai 154,000 saham miliknya dalam syarikat hartanah, Permaju Industries Berhad. Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Ibu Pejabat BPR di Putrajaya, 17 September lalu.

Mengikut Seksyen 32 (2) akta yang sama, setiap tuduhan itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM100,000.

Tuduhan ketiga pula, Ramli didakwa membabitkan diri dalam perniagaan dengan menjadi Pengarah Syarikat Kinsajaya Sdn Bhd. Sebagai penjawat awam, tertuduh terikat dengan Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan 2002) yang melarang penjawat awam mengambil bahagian dalam perniagaan.

Ramli didakwa melakukan kesalahan itu di ibu negara pada 25 April tahun lalu ketika menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Hakim SM Komathy Suppiah menetapkan perbicaraan tuduhan pertama dan kedua selama empat hari bermula 15 Januari depan. Sebutan kes tuduhan ketiga juga ditetapkan pada hari yang sama. Beliau turut membenarkan Ramli diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan memutuskan pasportnya tidak diserahkan ke mahkamah.

Tertuduh kemudian dibebaskan selepas rakannya, Datuk Roger Tan, yang juga seorang ahli perniagaan, membayar wang jaminan itu.

Terdahulu, sepanjang prosiding bermula jam 3.30 petang, Ramli kelihatan tenang tetapi serius. Turut hadir ketika prosiding, isterinya, Datin Anita Harun, Hakim di Mahkamah Sesyen Jenayah Jalan Duta di sini serta anak perempuan mereka dan ahli keluarga lain.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Jazamuddin Ahmad Nawawi dan Zulqarnain Hasan, manakala tertuduh diwakili Datuk K Kumaraendran, Datuk C Vijaya Kumar dan Harvinderjit Singh.

Dalam prosiding yang berlangsung selama setengah jam itu, Mohd Jazamuddin memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Pihak pendakwaan juga memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebaik Ramli pulang daripada menunaikan haji. Ramli akan mengerjakan umrah Sabtu ini sebelum menunaikan haji bulan depan.

Mohd Jazamuddin sebelum itu memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Kumaraendran bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM10,000 kerana tujuan jaminan adalah bagi memastikan tertuduh hadir di mahkamah ketika perbicaraan.

Beliau juga berkata, karier tertuduh selama 38 tahun dalam perkhidmatan polis dan kredibilitinya terjejas disebabkan tuduhan terhadapnya.

"Melihat tingkah laku anak guam saya yang tidak melarikan diri atau melindungi wajahnya ketika dibawa ke mahkamah, itu menunjukkan beliau ingin mempertahankan nama baiknya daripada tuduhan berkenaan," katanya.

Di PUTRAJAYA, Ramli yang tiba di Ibu pejabat BPR, kira-kira jam 11.20 pagi diserbu puluhan wartawan yang menunggu sejak jam 9 pagi. Bagaimanapun, Ramli yang kelihatan mesra dan bersahaja terus memasuki pejabat BPR bagi memberi keterangan kepada pegawai agensi itu.

Difahamkan, beliau yang ditemani isteri dan peguamnya, turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, sebelum meninggalkan ibu pejabat agensi itu kira-kira jam 2.30 petang untuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, ketika dihubungi berkata berdasarkan prinsip dan peraturan perkhidmatan awam, penjawat awam akan digantung tugas sebaik mahkamah memaklumkan kepada jabatannya mengenai kes yang dihadapi kakitangan terbabit.

"Penjawat awam berkenaan hanya menerima separuh gaji bulanannya sehingga kesnya selesai di mahkamah.

"Jika mahkamah mendapatinya tidak bersalah, beliau akan dibenarkan bertugas semula, selain mendapat baki gaji bulanannya yang dipotong sepanjang tempoh perbicaraan tetapi jika sebaliknya, kakitangan terbabit akan dipecat serta merta tanpa kerajaan membayar apa-apa kepadanya," katanya.

KRONOLOGI Kes Datuk Ramli Yusof

  • 18 Julai - Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan surat mengikut Seksyen 32 Akta Pencegah Rasuah 1997 kepada Ramli supaya mengisytiharkan hartanya dalam tempoh 30 hari.

  • 26 Julai - BPR mengambil keterangannya selama kira-kira lima jam yang disiasat kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan gagal mengisytiharkan harta bernilai kira-kira RM27 juta.

  • 27 Julai - Media melaporkan beliau menjadi pengarah syarikat dan memiliki harta RM27 juta dipercayai diperoleh secara haram. Pada hari sama, Ramli menafikan dirinya disiasat.

  • 9 Ogos - BPR memberi tempoh sehingga 18 Ogos kepada Ramli untuk mengisytiharkan hartanya.

  • 16 Ogos - Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, mengesahkan siasatan kes berkenaan masih dijalankan.

  • 16 September - BPR mengesahkan tarikh akhir untuk Ramli mengisytiharkan hartanya ialah pada 19 September.

  • 17 September - Ramli mengisytiharkan harta di Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Ibu Pejabat BPR di Putrajaya.

  • 11 Oktober - Seorang peguam yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Ramli dilaporkan ditahan BPR kerana gagal mengisytiharkan hartanya seperti diarahkan pendakwa raya.

  • 12 Oktober - Peguam, Rosli Dahlan, 46, didakwa di Mahkamah atas tuduhan tidak mendedahkan maklumat mengenai hartanya dalam penyataan bersumpah bertarikh 20 September.

  • 13 Oktober - Ramli dilaporkan hanya mengisytiharkan aset berjumlah RM10 juta kepada BPR.

  • 30 Oktober - Ramli mengadakan sidang media mengaku beliau disiasat BPR tetapi menafikan pelbagai dakwaan dikaitkan dengannya termasuk memiliki harta RM27 juta.

  • 31 Oktober - BPR mengambil keterangan adik Ramli, Roslina dan kakaknya, Rohmah @ Hasmah, masing-masing di Ibu Pejabat BPR Putrajaya dan Kota Bharu Kelantan, berhubung siasatan itu.
  • 0 comments: