Suharto derma RM374 juta -- Menang wang pampasan kes saman fitnah majalah Time

JAKARTA 1 Nov. – Bekas Presiden Indonesia, Suharto menyatakan beliau akan mendermakan sebahagian besar daripada lebih 1 trilion rupiah (RM374 juta) yang dimenanginya dalam kes saman fitnah terhadap majalah Time kepada golongan miskin.

Suharto memberitahu majalah Gatra dalam wawancara yang disiarkan hari ini, beliau juga akan menyumbangkan 35 peratus daripada jumlah tersebut kepada kerajaan.

Mahkamah Agung pada September lalu mengarahkan Time membayar ganti rugi berkenaan kepada Suharto berhubung satu laporan yang disiarkan pada Mei 1999.

Dalam laporan muka depan itu, Time mendakwa Suharto sekeluarga menimbunkan kekayaan berjumlah sekitar AS$15 bilion (RM51 bilion) termasuk AS$9 bilion (RM31 bilion) dalam sebuah akaun bank Austria.

Majalah milik Time Warner Inc itu merancang untuk mencabar keputusan mahkamah tersebut.

“Saya menjadi kaya dengan tiba-tiba dan saya akan mendermakannya kesemuanya kepada orang miskin,” kata Suharto dalam wawancara itu.

Suharto, 86, menegaskan beliau tidak bimbang dengan tuduhan rasuah itu.

“Biarlah mereka bercakap apa pun tetapi hakikatnya saya tidak terlibat dengan rasuah.

“Sekarang, saya telah diberi satu trilion rupiah,” katanya merujuk kepada keputusan mahkamah terhadap Time tersebut.

Beliau hidup memencilkan diri di kediamannya di kawasan Menteng, Jakarta sejak meletakkan jawatan pada 1998 selepas lebih 30 tahun memerintah.

Beliau sebelum ini dituduh terlibat dengan rasuah tetapi terlepas daripada pendakwaan kerana dikatakan terlalu uzur untuk dibicarakan.

Menurut Gatra, Suharto kelihatan lemah, bercakap tersekat-sekat dan ada masanya berjalan dengan dibantu, tetapi beliau memberitahu pewawancara, beliau “tidak apa-apa.”

Dalam laporan 1999 bertajuk Suharto Inc itu, Time menulis bahawa siasatan wartawannya selama empat bulan meliputi 11 negara mendapati enam daripada anak Suharto memiliki kepentingan cukup besar dalam sekurang-kurangnya 564 syarikat di Indonesia.

Kepentingan mereka di luar negara pula mencakupi ratusan firma lain dari Amerika Syarikat (AS) hingga ke Uzbekistan, dakwa laporan itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia bulan lalu meletakkan Suharto dalam kelompok teratas senarai penggelap wang terbesar di dunia.

Kedua-dua badan itu memetik anggaran pemantau rasuah antarabangsa, Transparency International (TI) yang menunjukkan Suharto menggelapkan aset negara berjumlah AS$15 bilion (RM51 bilion) hingga AS$35 bilion (RM$119 bilion) dalam tempoh 30 tahun beliau memegang kuasa.

– Reuters

0 comments: