Harga minyak melambung menghampiri AS$100

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Harga minyak mentah terus melambung dan hari ini ia melepasi paras AS$96 (RM320) setong berikutan kejatuhan dolar Amerika Syarikat (AS), setelah negara kuasa besar itu menurunkan lagi kadar faedah bagi membendung krisis kewangannya.

Setelah turun ke paras AS$90.38 (RM301) setong semalam, harga minyak mentah global melonjak ke paras AS$96.24 (RM321) setong apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka (FOMC) AS menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 4.50 peratus.

Kenaikan harga minyak juga disebabkan oleh ketegangan politik di Iraq dan Iran; permintaan tinggi komoditi itu menjelang musim sejuk; peningkatan permintaan dari China dan ketidaktentuan cuaca global.

Harga minyak mentah ‘Light Sweet’ bagi penghantaran Disember naik AS$5.86 (RM19.56) kepada AS$96.24 setong dalam urus niaga di luar waktu dagangan elektronik di New York Mercantile Exchange (Nymex).

Pakar Kewangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, ini merupakan kali kedua dalam tempoh dua bulan, FOMC selaku bank pusat AS menurunkan kadar faedahnya bagi merangsang semula aktiviti perniagaan yang terjejas di negara itu akibat krisis subprima.

“Langkah penurunan kadar itu telah menjejaskan nilai dolar dan menyebabkan harga minyak mentah yang didagangkan berasaskan mata wang itu terus melambung.

“Tindakan AS itu akan menyebabkan tekanan inflasi di seluruh dunia,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menjangkakan harga minyak mentah akan melepasi paras AS$100 setong dalam sedikit masa lagi jika dolar AS terus turun.

0 comments: