Presiden Mahkamah Rayuan pangku jawatan Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA 1 Nov. - Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad akan memangku jawatan Ketua Hakim Negara mulai hari ini sehingga pengisian jawatan dibuat, demikian menurut satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.

Ini berikutan persaraan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim semalam.

Ahmad Fairuz, yang genap 66 tahun hari ini, umur persaraan wajib bagi hakim di Malaysia, dilantik memegang jawatan tertinggi dalam sistem kehakiman negara itu pada 17 Mac 2003.

Menurut kenyataan itu lagi, mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91), sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan Ketua Hakim Negara, kuasa itu boleh dilaksanakan oleh Presiden Mahkamah Rayuan.

Maka dengan itu, Abdul Hamid akan memangku jawatan itu mulai hari ini sehingga pengisian itu dibuat.

Pengisian secara hakiki bagi jawatan berkenaan akan dilakukan secepat mungkin.

Kenyataan itu berkata, Kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala sumbangan cemerlang Ahmad Fairuz kepada badan kehakiman dan negara.

Sementara itu, ketika sidang akhbar bersama dua angkasawan negara di pejabatnya hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengucapkan terima kasih atas sumbangan cemerlang yang diberikan oleh Ahmad Fairuz kepada sistem kehakiman negara.

Katanya, beliau berharap Ahmad Fairuz dapat terus memberikan sumbangan kepada negara pada masa depan.

Mengenai bila jawatan itu akan diisi secara tetap, Abdullah berkata, tindakan akan diambil secepat mungkin.

- Bernama

0 comments: