Ustaz Hadi lawat keluarga Nurin - PAS mahu K'jaan bertanggungjawab

Salmiyah Harun | Foto Wan Zahari
Mon | Sep 24, 07 | 2:24:47 pm MYT

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang menegaskan kerajaan harus bertanggungjawab ke atas apa yang telah berlaku kepada kanak-kanak malang Nurin Jazlin Jazimin, 8, kerana ia berpunca daripada kelemahan undang-undang negara.

Image"Apa yang terjadi kepada Nurin adalah berpunca daripada kelemahan undang-undang British yang kita amalkan sekarang bukannya undang-undang Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menziarahi keluarga Nurin di rumahnya di Wangsa Maju, Seksyen 1 pagi tadi.

Ustaz Hadi yang meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama ibu bapa kanak-kanak malang itu Jazimin Abd Jalil dan Norazian Bistaman menegaskan penjenayah tidak takut dengan undang-undang yang ada dalam negara ini.

Malah katanya, kegagalan pihak polis membendung gejala jenayah seksual termasuklah pembunuhan kejam ke atas Nurin dianggap mengabaikan amanah rakyat.

Beliau juga kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) yang disokong oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mohd Nazri Abdul Aziz yang cuba mendakwa ibu bapa Nurin sekiranya kematian kanak-kanak itu berpunca daripada kecuaian mereka.

"Sebenarnya pihak berkuasa gagal menangani masalah jenayah dalam negara ini kalau di negara lain Ketua Polis Negara keluarkan kenyataan seperti ini sudah lama letak jawatan," katanya yang turut disaksikan oleh kaum keluarga Nurin.

ImageTegasnya, dalam hal seperti ini bukan pihak keluarga mangsa disalahkan tetapi penjenayah terbabit yang sepatutnya sudah ditangkap seawal kes ini dilaporkan.

"Apa yang mengecewakan polis bukan sahaja tidak boleh menjejaki jenayah terbabit tetapi jenayah semakin bertambah,"katanya.

Ketika mengunjungi keluarga Nurin, Ustaz Hadi turut merakamkan ucapan takziah serta melahirkan rasa kesedihan yang menimpa keluarga terbabit, beliau turut dilihat memberi kata-kata semangat dan perangsang kepada ibu bapa Nurin Jazlin.

Beliau turut menyampaikan buah tangan dan sumbangan kepada ibu bapa Nurin Jazlin serta memberi nasihat kepadanya supaya bersabar dan tabah menghadapi dugaan berat daripada Allah SWT.

Justeru, Ustaz Hadi juga akan membantu dan membela keluarga Jazimin jika sekiranya ada pendakwaan terhadapnya selepas ini.

Hadir sama AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi dan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Ustaz Mohd Nor Mohammad. - mks.

0 comments: