Ibu kurung anak dalam sangkar

Oleh Hussain Said

Jiran lapor kepada polis tak tahan dengar mangsa menangis minta dibebaskan

SEREMBAN: Seorang ibu yang dipercayai berang dan tidak tahan dengan kenakalan anak perempuannya yang berusia tujuh tahun mengurungnya dalam sangkar besi di belakang rumah di Seremban 2, dekat sini malam kelmarin.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu dibebaskan empat anggota polis yang datang ke rumahnya jam 10 pagi selepas mendapat maklumat daripada jiran yang tidak sampai hati melihat mangsa diperlakukan sedemikian.

Seorang jiran yang enggan namanya disiarkan berkata, dia mendengar tangisan mangsa sebelum tengah malam kelmarin.

"Apabila saya bangun untuk memeriksa suara tangisan itu, saya melihat mangsa dalam sangkar besi di belakang rumahnya. Saya sedih mendengar tangisan mangsa yang merayu-rayu meminta tolong ibunya supaya dibebaskan.

"Selepas beberapa ketika, saya tidak lagi mendengar suara tangisan mangsa. Saya fikir ibunya sudah melepaskannya tetapi terperanjat apabila melihat dia masih dalam sangkar itu keesokan pagi sebelum saya menghubungi polis," katanya.

Seorang lagi jiran mendakwa kejadian itu bukan kali pertama mangsa dikurung ibunya yang dipercayai tidak tahan dengan kenakalan anaknya itu.

"Saya marah dengan perbuatan ibu mangsa yang tidak berperikemanusiaan. Apatah lagi, mengurung anak semalaman dalam sangkar. Tindakan ini bukan cara terbaik mengajar atau mendisiplinkan anak," katanya.

Jiran itu mendakwa dia pernah melihat beberapa jiran lain menegur ibu mangsa supaya tidak melakukan sedemikian.

Ditanya mengenai bapa mangsa, jiran terbabit berkata, dia jarang melihat bapa mangsa berada di rumah, sebaliknya mangsa yang juga anak tunggal sering kelihatan bersama ibunya di rumah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Huzir Mohamad, berkata pihaknya mengambil mangsa dari rumahnya malam tadi dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk pemeriksaan perubatan.

"Kita akan memanggil ibunya untuk memberi kenyataan berhubung tindakannya itu. Jika siasatan termasuk laporan perubatan mendapati ada unsur penderaan, kita akan mengambil tindakan," katanya.

0 comments: