Kaitkan dengan Along: Bapa Nurin akan ambil tindakan undang-undang

Salmiyah Harun
Mon | Sep 24, 07 | 5:35:28 pm MYT

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Hrkh) - Jazimin Abdul Jalil, 33, bapa kanak-kanak yang dibunuh dengan kejam, Nurin Jazlin, 8 , akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang didakwa mengaitkan kematian anaknya itu dengan Along.

ImageBeliau yang ditemui di rumahnya di Wangsa Maju berkata, ada beberapa media yang melaporkan kematian anaknya ada kaitan dengan Along.

Bagaimanapun beliau kesal dengan laporan itu yang seolah-olah memburuk-burukan beliau sekeluarga.

"Apabila kisah saya hampir selesai iaitu selepas ujian DNA mengesahkan mayat kanak-kanak itu anak saya, ada pihak yang cuba tikam saya dari belakang, saya akan ambil tindakan undang-undang," katanya.

Sebelum itu, beliau sekeluarga dikunjungi Presiden PAS Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Salleh dan Timbalannya Wan Hasrina Wan Hassan, Pesuruhjaya PAS Wilayah Mohammad Nor Mohammad dan AJK PAS Pusat Syed Azman Syed Nawawi.

Mengulas dakwaan pihak polis yang mengatakan pembunuhan kanak-kanak terbabit bermotifkan dendam, Jazimin berkata, pihaknya tidak pernah berdendam dengan mana-mana pihak dan terpulang kepada pihak berkuasa untuk menentukan apa motif sebenar si pembunuh.

"Saya tak nak kata apa-apa terserah kepada pihak polis, yang panting saya tidak berdendam dengan sesiapa," katanya.

Sementara itu, beliau juga teringin untuk melihat wajah pembunuh yang bersifat lebih daripada binatang itu terhadap anaknya apabila berjaya ditangkap nanti.

"Kalau boleh saya nak jumpa si pembunuh itu, nak mengucapkan 'terima kasih banyak-banyak' serta nak 'peluk cium' si pembunuh itu," katanya dengan nada sinis ketika di hadapan Abdul Hadi. - mns

0 comments: