Blog Nurin jadi tumpuan ramai

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Keprihatinan masyarakat terhadap kisah tragis Nurin Jazlin Jazimin, 8, terus meningkat apabila laman blog khas yang diwujudkan oleh keluarganya tidak putus-putus dikunjungi pelawat.

Blog nurinjazlin.blogspot.com yang diusahakan oleh bapa saudaranya, Jasni Abdul Jalil menjadi wadah perkongsian emosi bukan sahaja oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini, malah dari Singapura, Amerika Syarikat dan Brazil yang turut mengikut kisah sedih yang menimpa Nurin.

Ketika Nurin Jazlin belum ditemui, ada yang berhasrat membantu mencarinya termasuk dari Akademi Simfoni Minda menerusi meditasi untuk menjejaki kanak-kanak dinamakan ‘remote viewing’ secara beramai-ramai.

Tidak kurang juga meluahkan kemarahan meluap-luap sehingga mempertikaikan cara pihak polis menjejaki Nurin Jazlin yang mengambil masa terlalu lama untuk ditemui iaitu sebulan.

Mayat kanak-kanak itu ditemui dalam beg sukan di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Isnin lalu.

Murid tahun dua di Sekolah Kebangsaan Desa Setapak itu hilang 20 Ogos lalu setelah keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Blog itu juga menyiarkan permintaan pelawat supaya orang ramai tidak terus menyalahkan ibu bapa Nurin Jazlin kerana bersikap cuai kerana tindakan itu hanya akan menambah luka di hati keluarga itu.

0 comments: