KAMPUNG GAJAH 23 Sept. – Pergerakan Puteri UMNO akan melancarkan buku panduan sivik untuk pelajar-pelajar sekolah rendah bagi membendung perlakuan jenayah seksual di kalangan kanak-kanak tidak lama lagi.
Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, ia merupakan salah satu program pencegahan jenayah Puteri UMNO.
Beliau berkata, buku panduan itu akan menjelaskan kepada kanak-kanak apa yang boleh dilakukan dan perkara-perkara yang dilarang.
‘‘Buku itu akan menerangkan apa yang dikatakan sebagai oral seks.
‘‘Anak-anak ini tidak tahu sebenarnya (apa yang berlaku ke atas mereka). Kadang-kadang dia tidak tahu dia dicabul, cuma dia tidak suka orang buat begitu pada dia,” katanya.
Noraini menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan hari raya kepada 50 ibu tunggal dan golongan orang kurang upaya dari seluruh Perak di sini petang semalam.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman; Ketua Pemuda UMNO negeri, Zainol Fadzi Paharuddin dan Ketua Puteri UMNO Perak, Dr. Wan Norashikin Wan Nordin.
Sementara itu, Noraini mahu gambar penjenayah seksual terutama yang membabitkan kanak-kanak bawah umur 12 tahun dipaparkan secara terbuka dalam semua media massa bagi memberikan pengajaran kepada mereka.
Menurut beliau, tindakan itu wajar bagi menunjukkan kepada mereka bahawa perbuatan itu adalah dikutuk oleh masyarakat.
‘‘Kalau kita nak cakap pasal binatang, binatang pun tidak sekejam itu. Hanya orang yang tidak berperikemanusiaan sanggup lakukan perbuatan itu.
‘‘Gambar mereka ini sepatutnya dipaparkan ketika ditangkap dan dibawa ke mahkamah untuk didakwa. Buat apa nak sembunyi-sembunyi?'' katanya mengulas kematian tragis mangsa deraan seksual, Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin.
Selain itu, Noraini juga menggesa supaya Akta Kanak-kanak terutama yang membabitkan perlakuan seksual dikuatkuasakan dan aspek pelaksanaannya diteliti semula.
‘‘Kita ada banyak undang-undang dan peraturan di Malaysia tetapi kadang-kadang pelaksanaannya kena diteliti.
‘‘Pelaksanaan undang-undang itu perlu diperkuatkan, kalau tidak penjenayah seksual tidak akan takut,” katanya.
0 comments:
Post a Comment