Marah punca bapa enggan akui mayat

Oleh: NORLIZAH ABAS

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Seorang pakar psikiatri berpendapat, Jazimin Abdul Jalil, 33, diselubungi perasaan teramat marah sehingga beliau cenderung membuat penafian ketika mengecam mayat anaknya, Allahyarham Nurin Jazlin.

Profesor Dr. Azhar Mohd. Zain berkata, penafian awal itu berlaku kerana Jazimin terlalu terkejut sehingga beliau tidak mampu menerima hakikat kematian Nurin Jazlin lalu menyangkal mayat itu anaknya.

Dekan Fakulti Perubatan dan Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi, Jabatan Psikiatri, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menjelaskan, penafian tersebut menyebabkan individu berkenaan mengalami kemurungan dan tertekan.

‘‘Dalam kes yang menimpa Jazimin, dia mengalami tahap penafian yang terlalu tinggi sehingga menyebabkannya memprotes bahawa mayat yang dicam itu ialah Nurin Jazlin.

‘‘Bagaimanapun, sikap memprotes tersebut beransur-ansur hilang dalam tempoh tertentu,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Azhar mengulas keengganan awal Jazimin untuk menerima kematian anak keduanya itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Khamis lalu atas alasan fizikal mayat tersebut berlainan daripada tubuh anaknya.

Kelakuan itu menimbulkan reaksi spontan pelbagai pihak kerana ia berbeza dengan sikap pasrah isterinya, Norazian Bistaman selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat yang disumbat dalam sebuah beg pakaian di Taman Petaling utama, Petaling Jaya dekat sini pada Isnin lalu ialah Nurin Jazlin.

Pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini itu hilang pada 20 Ogos lalu setelah keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini.

Selepas hilang selama hampir sebulan, mayat Nurin Jazlin ditemui dengan kesan deraan seksual.

Sementara itu, seorang Perunding Psikologi, Khairol Anuar Masuan berkata, Jazimin berada dalam keadaan gangguan emosi ketika membuat penafian pada peringkat awal.

Beliau berkata, pemandu teksi tersebut sudah menunggu kepulangan anaknya begitu lama dan pastinya mengharapkan kanak-kanak itu pulang dengan selamat dan sempurna.

‘‘Malangnya, Nurin Jazlin kembali dalam keadaan menyayat hati menyebabkan emosinya terganggu sehingga sukar bagi Jazimin menerima kebenaran,’’ katanya.

Khairol Anuar kagum kerana Jazimin cepat sedar daripada penafiannya kurang daripada 48 jam tanpa bantuan pakar psikologi.

‘‘Individu yang kehilangan pasangan hidup, anak atau sesuatu yang amat disayangi boleh mengalami tekanan pada tahap maksimum dan sukar pulih dalam tempoh jangka pendek,’’ ujarnya.

0 comments: