Angkasawan pertama diumum hari ini

Oleh Amirullah Andi Nur

KUALA LUMPUR: Tanda tanya siapa yang dipilih sebagai angkasawan pertama negara iaitu antara pakar ortopedik, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan doktor gigi, Kapten Dr Faiz Khaleed, diketahui hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata pengumuman mengenainya akan dibuat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di pejabatnya di Putrajaya, pada jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, Perdana Menteri bersetuju untuk membuat pengumuman itu sendiri selepas ditangguhkan minggu lalu dan ia dijangka disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen RTM dan TV3.

"Perdana Menteri akan membuat pengumuman itu di pejabatnya pada jam 12 tengah hari esok (hari ini) dan kita jangka ia disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen" katanya kepada Berita Harian, semalam.

Dr Sheikh Muszaphar, 35, adalah bekas pegawai perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), manakala Dr Faiz, 26, adalah doktor gigi yang pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mereka dipilih daripada 11,275 calon yang memohon apabila program itu diperkenalkan pada 2003. Kedua-duanya menjalani latihan akhir persiapan, termasuk di Russia selama setahun selepas dipilih untuk saringan akhir pada 4 September 2006.

Penghantaran angkasawan pertama negara dengan kos RM95 juta ini adalah sebahagian daripada program timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM dan pesawat udara pelbagai guna bernilai RM3.4 bilion dari Russia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Pada peringkat awal, Dr Sheikh Muszaphar dikatakan mendahului Dr Faiz untuk menjadi angkasawan pertama negara, tetapi sehingga semalam, peluang itu kembali seimbang.

Jamaludin berkata, pemilihan muktamad nama angkasawan pertama negara itu hanya diputuskan semalam.

0 comments: