Fukuda PM Jepun - Peroleh 330 undi berbanding 197 milik Taro Aso



YASUO FUKUDA.
TOKYO 23 Sept. – Parti pemerintah Jepun hari ini memilih ahli Parlimen, Yasuo Fukuda (gambar) untuk menggantikan Shinzo Abe sebagai Perdana Menteri dalam usaha memulihkan kedudukan parti itu dan mengisi kekosongan politik.

Puak-puak utama dalam Parti Demokratik Liberal (LDP) memberikan sokongan mereka kepada Fukuda, 71, dengan harapan tokoh sederhana yang dilihat berkebolehan itu boleh mengembalikan kestabilan selepas tempoh setahun lalu menyaksikan beberapa skandal dan kekalahan parti pada pilihan raya.

Fukuda yang ingin menjalinkan hubungan lebih erat dengan jiran-jiran di Asia disambut dengan tepukan gemuruh oleh pegawai dan ahli Parlimen LDP selepas keputusan pengundian diumumkan di ibu pejabat parti di sini.

Beliau memperoleh 330 daripada 527 undi sah berbanding 197 untuk pesaingnya yang juga bekas Menteri Luar, Taro Aso.

Fukuda akan dilantik sebagai Perdana Menteri pada Selasa ini dengan sebab majoriti besar kem parti pemerintah di dewan rendah Parlimen.

Bagaimanapun, beliau bakal berdepan dengan tentangan sengit daripada pembangkang yang menguasai dewan tertinggi Parlimen selepas pilihan raya Julai lepas.

“LDP menghadapi situasi sangat sukar dan saya mahu berusaha terlebih dahulu untuk memulihkan kedudukan parti dan mendapat kembali kepercayaan rakyat,” kata Fukuda selepas pengundian, dengan merujuk kepada kekalahan LDP dalam pilihan raya dewan tertinggi itu.

Fukuda juga menghadapi tekanan bercanggah untuk meningkatkan perbelanjaan bagi menarik balik sokongan pengundi yang kecewa, dan dalam pada itu mengurangkan beban hutang awam Jepun.

“Keselamatan dan kestabilan - itulah yang diharapkan daripada Fukuda oleh ramai anggota LDP,” kata Profesor Sains Politik di Universiti Waseda, Takehiko Yamamoto.

– Reuters

0 comments: