Hukuman pancung di khalayak ramai, balasan setimpal kepada pembunuh Nurin

Azamin Amin
Mon | Sep 24, 07 | 10:21:37 am MYT

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Hrkh) - Ramai yang mahu pembunuh berhati binatang ini diseksa terlebih dahulu supaya merasai azab peritnya derita Nurin Jazlin Jazimin,berusia lapan tahun yang dibunuh kejam setelah diculik sejak 20 Ogos lalu.

Rata-rata responden, orang ramai malah seluruh rakyat Malaysia begitu geram dan marah di atasa perlakuan tidak berperikemanusiaan itu dan mencadangkan dengan pelbagai kaedah atau cara yang menyakitkan untuk membalas kekejaman yang dilakukan manusia durjana itu.

Ada yang mahu dikasi atau 'dimandulkan'kemaluan mereka (seperti sida-sida sewaktu Maharaja China memerintah), diseksa dan dicedera kemudian dibunuh malah ada di kalangan cerdik pandai seperti ahli akademik yang begitu kesal dengan situasi tersebut menyarankan pembunuh ini disembelih.

Mengulas lanjut hal ini Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang berkata cadangan ini lazimnya timbul dalam suasana sentimen dan emosi yang begitu kecewa dengan perilaku zalim itu, namun adakalanya ianya bersifat bermusim dan tidak bersungguh-sungguh, hanya dilihat melepaskan geram semata-mata.

Sungguhpun begitu katanya, Islam telah memberi garis panduan yang terbaik untuk menghukum pesalah yang telah merogol dan membunuh dengan kejam kanak-kanak tidak berdosa ini.

"Hukuman yang setimpal ialah dipancung di khalayak ramai supaya memberi pengajaran kepada orang lain dan supaya tidak ada lagi manusia jahat yang berani lagi mengulangi perbuatan terkutuk itu di samping Allah juga akan turut mecegah serta 'membatas' perbuatan itu daripada berleluasa," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya lagi kes yang berlaku kepada Nurin ini, melibatkan dua perbuatan jenayah iaitu rogol dan bunuh maka selayaknya pembunuh ini dikenakan tindakan seperti yang telah diperintah oleh Allah dan dinyatakan dalam al-Quran sebagai pelaksanaan Qisas.

Memberi penjelasan, Qisas bererti 'jenayah bunuh dibalas dengan bunuh juga' yang telah disebut di dalam surah al-Baqarah ayat 178, kata Ustaz Ahmad Awang.

"Tidak timbul soal memberi peluang, memaafkan atau mahu memberi kaunseling kepada pembunuh supaya insaf seperti yang pernah dicadangkan sesetengah pihak kerana kemaafan itu adalah hak kaum keluarga mangsa yang nak memaafkannya," katanya yang merujuk kepada sesetengah pihak yang berpendapat hukuman hudud Islam ini dilihat tiada belas kasihan.

"Dalam keadaan sekarang, begitu marah dengan perbuatan ke atas Nurin, siapa yang akan ada belas kasihan, justeru hukuman Islam juga mengambil kira keadaan ini dan tidak wajar dianggap zalim," katanya.

Justeru,beliau menyaran semua pihak agar kembali kepada asas agama dalam mencegah gejala 'sakit' lagi kronik daripada semakin parah dan supaya negara tidak dikejutkan lagi dengan pembunuhan tragis dan kematian menyayat hati seumpama ini. - mks.

0 comments: