Oleh: MUHD. NIZAM ABD. HAMID
|
|
ALOR STAR 23 Sept. – Polis melancarkan gerakan memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian serangan menggunakan ‘pedang samurai’ di Kampung Nyior, Kubur Panjang di sini pagi semalam sehingga menyebabkan mangsanya putus ibu jari kanan.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad berkata, siasatan terhadap kes itu sedang giat dijalankan termasuk motif suspek menetak mangsa.
Menurutnya, setakat ini, polis belum mengambil keterangan daripada mangsa, Senawi Ahmad, 49, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang kini bersembunyi dan dipercayai masih berada di daerah ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam perkembangan sama, isteri mangsa, Fatimah Sulung, 39, berharap pihak polis dapat menangkap segera lelaki berusia 40-an itu yang juga rakan suaminya itu.
“Selagi polis tidak berkas lelaki berkenaan, saya sekeluarga berada dalam ketakutan,” katanya ketika ditemui di HSB.
Dia bimbang dengan keselamatan keluarganya termasuk 12 orang anaknya yang berusia antara sembilan bulan hingga 25 tahun jika suspek belum dapat diberkas lagi.
Katanya, suspek pernah menyerang suaminya dengan senjata tajam sehingga menyebabkan dia cedera di dahi pada tahun lalu.
Fatimah mendakwa, lelaki itu juga terbabit dalam kejadian menetak seorang kontraktor di Kampung Belat awal tahun ini sehingga menyebabkan mangsa putus tangan.
Dalam kejadian terbaru, Senawi yang baru pulang dari kebun getahnya diserang secara tiba-tiba dan ditetak oleh seorang lelaki yang dikenalinya dengan pedang samurai kira-kira satu kilometer dari rumahnya di Kampung Nyior, Kubur Panjang.
Fatimah memberitahu, suaminya yang putus ibu jari kanan dan cedera di dada kini berada dalam keadaan stabil.
0 comments:
Post a Comment