Oleh AZMAN IBRAHIM dan ALINAEMAH LAILY YUSOF
|
|
KUALA LUMPUR 23 Sept. – Lebih tiga juta ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini memulakan kempen memboikot para peniaga yang menaikkan harga barang keperluan.
Melalui boikot itu, kedua-dua kesatuan sekerja itu mahu mengembalikan hak pengguna dalam menentukan harga barang serta menundukkan kuasa pembekal dan peniaga menjelang musim perayaan.
Ahli kedua-dua pertubuhan itu disarankan tidak ke pasar selama dua hari dalam seminggu bagi menyokong langkah tersebut.
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, tindakan pengguna tidak pergi ke pasar selama dua hari seminggu itu akan memberi impak besar kepada peniaga dan pembekal barangan keperluan.
‘‘Kalau ahli-ahli CUEPACS seramai 1.5 juta orang dan ahli MTUC lebih dua juta orang berjaya memboikot barangan keperluan dan tidak ke pasar basah selama dua hari seminggu, ia sudah cukup untuk menekan pembekal dan peniaga,’’ katanya.
Omar berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai kempen Boikot Harga Barangan Keperluan di Plaza Tol Sungai Besi arah Seremban di sini. Turut hadir dalam program itu ialah Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud.
Menurut Omar, kuasa beli terletak pada tangan pengguna dan hanya pengguna mampu menyelesaikan masalah kenaikan harga yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Kempen simbolik yang disertai seramai 30 ahli MTUC dan CUEPACS itu berlangsung selama dua jam. Sebanyak 30,000 risalah mengenai kempen itu turut diedarkan kepada pengguna lebuh raya yang melalui plaza tol tersebut.
Risalah itu berbunyi:
“Harga barang-barang keperluan seperti beras, susu, garam, tepung, minyak masak, roti dan ayam semakin naik setiap hari.
“Sebelum meningkat ke tahap kritikal, kita harus memainkan peranan kita selaku pengguna.
“Marilah kita sama-sama memboikot barang keperluan dan mencari sumber alternatif.
“Sebagai pengguna dan warga pekerja, kita mempunyai hak untuk memainkan peranan kita demi membanteras kenaikan harga barangan dengan sewenang-wenangnya. Boikot!”
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai menyokong sepenuhnya kempen boikot berkenaan.
Mereka berpendapat kempen tersebut mampu membuka mata kerajaan terhadap bebanan ekoran kenaikan harga barang yang terpaksa ditanggung pengguna selama ini.
Seorang peniaga, Adzul Ismail, 25, berkata, kempen itu perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
‘‘Apabila harga barang naik, pengguna juga yang menjadi mangsa. Peniaga mahupun pembekal tidak menghadapi masalah seperti kami (pengguna) memandangkan mereka boleh meletakkan harga yang tinggi untuk barangan yang dijual.
‘‘Apa yang paling dikesali ialah banyak harga barangan naik ketika perayaan besar sambutan,’’ katanya.
Seorang guru, Lim Choy Kim, 53, turut menyokong kempen CUEPACS dan MTUC itu sebagai tanda bantahannya terhadap kenaikan harga barangan yang melampau.
‘‘Baru sahaja kenaikan gaji kakitangan awam diumumkan, harga barang sudah dinaikkan.
‘‘Setelah kenaikan gaji dilaksanakan, harga barangan naik lagi. Kenaikan harga ini terlalu cepat. Ia seolah-olah mahu membebankan pengguna,’’ katanya.
Seorang lagi pengguna, K. Subramaniam, 49, menyifatkan kempen itu sebagai satu amaran kepada peniaga yang menaikkan harga barangan supaya berhenti berbuat demikian kerana kuasa beli terletak pada tangan pengguna.
‘‘Pengguna juga mempunyai kuasa untuk tidak membeli barangan peniaga yang dijual pada harga mahal. Jika kita bersatu hati, saya pasti kesan akan dirasai oleh para peniaga sendiri,’’ jelasnya.
Seorang kakitangan awam, Shafiq Sulaiman, 25, berpendapat kempen itu tidak akan dapat pergi jauh kerana barangan yang diboikot kebanyakannya adalah barangan keperluan.
‘‘Kempen memboikot seperti ini ada baik dan buruknya.
‘‘Walaupun kita (pengguna) memboikot, harga barangan masih sama dan pengguna juga yang akan terbeban dengan krisis ini ekoran peniaga dan pembekal tidak mempedulikan kesannya kepada pengguna. Mereka hanya mementingkan keuntungan,’’ katanya.
0 comments:
Post a Comment