LDP pilih Fukuda jadi PM Jepun ganti Abe




Dewan Rakyat akan undi lulus ketua kerajaan baru esok

TOKYO: Parti yang memerintah Jepun, Parti Liberal Demokratik (LDP), memilih Yasuo Fukuda (gambar), ahli perundangan veteran sederhana, sebagai Perdana Menteri menggantikan Shinzo Abe, semalam.

Fukuda, 71, bekas pegawai kanan kepada beberapa Perdana Menteri dikenali kerana dasar luarnya yang bersifat diplomatik, menerima 330 undian di kalangan anggota parti, bagi memimpin ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Ini berbanding 197 undi untuk pesaing tunggal, bekas Menteri Luar, Taro Aso, manakala satu undi tidak sah.

Pegawai pemilihan LDP, Hideo Usui, mengumumkan: �Oleh kerana Yasuo Fukuda menang majoriti undi, dia dipilih.�

Fukuda yang tunduk di depan perhimpunan, berikrar untuk berusaha membina semula parti itu yang diakuinya berdepan 'kesukaran besar'.

"Saya mahu membina masa depan cerah untuk Jepun dengan bantuan daripada anda semua, dan saya akan mengetuai jalan. Saya menghargai sepenuhnya sokongan anda semua," katanya.

Undian oleh ahli perundangan LDP dan pegawai menjadikan Fukuda sebagai presiden parti. Dia secara rasmi akan dilantik sebagai Perdana Menteri esok oleh Parlimen.

Dengan pelantikan itu, Fukuda menjadi Perdana Menteri tertua Jepun memasuki pejabat sejak tahun 1991, perbandingan jelas dengan Abe, 53, pemimpin termuda Jepun dan berdepan kritikan dia terlalu tidak berpengalaman.

Fukuda sendiri menyalahkan Abe kerana tidak meletak jawatan lebih awal selepas LDP hilang kawalan ke atas Dewan Negara Parlimen buat kali pertama pada pilihan raya Julai lalu.

Dia juga berikrar untuk menyembuhkan kesakitan pengundi pedalaman yang berasa ditinggalkan dari pemulihan ekonomi Jepun dan membalas dengan meminggirkan LDP dalam pilihan raya akhir lalu.

Pembangkang berjanji menggunakan Dewan Negara untuk menamatkan misi tentera laut menyokong tentera asing diketuai Amerika Syarikat di Afghanistan. Abe berjaya mengekalkan jawatannya dengan membaharui mandat itu, dan Fukuda serta Aso menyokong misi berkenaan.

Penganalisis berkata, LDP mahukan penangguhan dari ideologi yang digunakan Abe dan Perdana Menteri sebelumnya, Junichiro Koizumi, yang menang pilihan raya dengan gaya ranggi, tetapi pembaharuan pasaran bebas tidak popular di kawasan luar bandar.

"Fukuda tiada karisma, tetapi dinilai tidak mudah membuat kesilapan," kata pengarah Institut Kontemporari Pengajian Jepun Universiti Temple, Robert Dujarric. �AFP

0 comments: