Angkasawan terkenal Sepanyol bantu Jakim

Oleh Habsah Dinin

ANGKASAWAN terkemuka Sepanyol, Pedro Duque, turut memberi sumbangan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menghasilkan Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Walaupun Duque bukan beragama Islam, tetapi bantuannya diperlukan untuk membolehkan Jakim dan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) mengetahui dan memahami secara terperinci kehidupan dalam kapal angkasa.

Duque dijemput ke Kuala Lumpur tahun lalu, berdasarkan kepakaran dan pengalaman luasnya hidup dalam kapal angkasa.

Antara aspek yang diceritakan termasuk pemakanan dan cara menjaga kesihatan melalui senaman.

Duque memberi pandangan sebagai bukan Islam, tetapi kehadirannya memberi gambaran sebenar pengalamannya mengenai kehidupan dalam kapal angkasa. Maklumat ini membolehkan Jakim mengetahui cara untuk angkasawan Islam beribadah.

Kehadiran Duque adalah sebahagian proses panjang dan teliti Jakim menyediakan garis panduan ibadah di angkasa lepas.

Pada Seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa, April tahun lalu, pandangan pakar pelbagai disiplin ilmu seperti astronomi, fizik, kejuruteraan dan syariah, dikumpulkan dan kemudian dibentangkan dalam jawatankuasa teknikal dan syariah.

Selepas diperhalusi, pandangan itu dibentangkan dan dipersetujui sebagai garis panduan pada peringkat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Pengarah Bahagian Penyelidikan Jakim, Anan C Mohd, berkata penyediaan garis panduan itu adalah pengalaman baru kerana ibadah di angkasa lepas adalah perkara baru bukan saja di negara ini dan dunia Islam secara keseluruhan.

Katanya, garis panduan ini boleh diperbaiki, terutama selepas kepulangan angkasawan negara kerana dalam keadaan sebenar, mungkin ada perkara yang tidak diketahui sekarang atau di luar jangkaan berlaku.

Selain itu, katanya, kepesatan sains dan teknologi, terutama dalam bidang angkasa lepas menyebabkan garis panduan itu perlu diubah suai.

Dari sudut lain, penerbitan garis panduan ibadah di angkasa lepas membuktikan Islam sesuai dengan perubahan zaman serta kemajuan sains dan teknologi.

Katanya, Islam tidak bercanggah dengan sains dan teknologi kerana umat Islam digalakkan melihat dan mengkaji sesuatu perkara.

"Inilah keistimewaan Islam. Berdasarkan konsep bahawa ibadah boleh dilakukan di mana-mana, apabila kelihatan sempit dan terdesak, Allah memberi kelonggaran supaya umat Islam dapat beribadah dengan mudah dan selamat," katanya.

0 comments: