Jangan menuding jari – Rosnah

KOTA KINABALU 23 Sept. – Naib Ketua Puteri UMNO, Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, bukan masanya untuk masyarakat menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak dalam tragedi pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin.

Beliau berkata, apa yang penting ialah setiap anggota masyarakat berganding bahu bekerjasama membantu pihak berkuasa sehingga tertangkapnya penjenayah yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan kejam itu.

Sambil melahirkan rasa sedih dengan cara kematian Nurin Jazlin, beliau berkata, Pergerakan Puteri UMNO merayu setiap anggota masyarakat membantu usaha menangkap penjenayah terbabit bagi menghukumnya.

‘‘Penjenayah terbabit perlu dihukum dan menerima pembalasan yang setimpal.

‘‘Kejadian itu juga menjadi pengajaran kepada kita tentang betapa keselamatan kanak-kanak perlu diberi perhatian supaya jenayah seumpama itu tidak berulang lagi,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim di Beverly Hotel di sini malam tadi.

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, peranan setiap individu dalam masyarakat penting kerana jika ada maklumat awal daripada orang ramai mungkin kes kehilangan dan kematian Nurin Jazlin dapat dielakkan.

‘‘Kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa, pihak polis dan kerajaan. Semua pihak perlu berasa bertanggungjawab dalam kes pembunuhan kejam seperti itu.

‘‘Untuk mengawal kanak-kanak daripada penjenayah gila tentu sukar tetapi jika ada kerjasama di kalangan anggota masyarakat, pasti ada cara untuk mengatasinya,” ujar beliau.

Terdahulu semasa berucap pada majlis meraikan 30 anak-anak yatim anjuran TPPT Sdn. Bhd., Rosnah melahirkan penghargaan atas komitmen pihak swasta terhadap nasib golongan kurang bernasib baik.

Katanya, penglibatan sektor swasta dalam melaksanakan tanggungjawab sosial wajar dicontohi supaya kerja-kerja kebajikan tidak diserahkan kepada agensi kerajaan semata-mata.

0 comments: