KUALA LUMPUR 23 Sept. – Walaupun jasad Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin telah tiga hari disemadikan, namun pusara kanak-kanak malang itu tidak putus-putus diziarahi orang ramai yang bersimpati atas kematiannya.
Tinjauan pemberita ke pusara Nurin Jazlin di Tanah Perkuburan Islam Ibu Kota di sini hari ini mendapati orang ramai yang mengunjungi pusara itu bukan sahaja dilanda perasaan pilu dan marah, malah terlalu sedih.
Ramai yang menitiskan air mata kerana tidak dapat menahan perasaan mengenangkan penderitaan yang dilalui kanak-kanak itu sebelum kematiannya.
Seorang peniaga, Adnan Alias, 42, berkata, dia datang menziarahi pusara Nurin Jazlin kerana mengenangkan tragedi yang menimpa kanak-kanak itu.
Warga emas, Noor Shamshi Baharam Khan, 72, yang berjalan menggunakan tongkat tetap bersemangat menziarahi pusara Nurin Jazlin walaupun terpaksa dipapah oleh anaknya.
Anaknya, Abdullah Abdul Kadir, 43, memberitahu, ibunya selalu bertanya mengenai perkembangan Nurin Jazlin.
Pegawai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) itu berkata, ibunya yang baru tiba dari Kota Bharu, Kelantan meminta dibawa ke kubur Nurin Jazlin sejurus mendengar berita kematian kanak-kanak itu semalam.
Penjaga kubur di situ, Mustaffa Kamal, 63, berkata, pusara kanak-kanak tidak berdosa itu sentiasa dikunjungi orang ramai sejak pengebumian Jumaat lalu terutama pada waktu pagi.
0 comments:
Post a Comment