Polis ada bukti, pembunuh Nurin akan ditahan – Khalid

Oleh: UMAVATHI RAMAYAH

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Di manakah pembunuh Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin berada sekarang?

Adakah dia benar-benar telah dapat dikesan oleh pihak polis atau si pembunuh itu bakal hidup bebas walaupun selepas mendera secara seksual dan membunuh Nurin Jazlin yang baru berusia lapan tahun?

Ketika ini pelbagai teori muncul mengenai identiti pembunuh itu yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai binatang.

Ada yang mengaitkannya dengan ‘Pencabul Kampung Baru’ yang pernah mencabul dua orang kanak-kanak berusia lima dan enam tahun beberapa bulan lalu.

Ada yang mengatakan wujud unsur dendam manakala pihak lain pula merasakan si pembunuh itu merupakan fidofil yang pernah dihukum penjara sebelum ini.

Pihak polis yang mengunci mulut mengenai perkembangan kes itu yakin mereka akan dapat menahan pembunuh Nurin Jazlin dalam masa terdekat.

“Kita telah mendapat beberapa petunjuk,” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

“Insya-Allah, saya yakin kes Nurin Jazlin dapat diselesaikan kerana kita sudah memperoleh beberapa bukti kukuh,” katanya.

Khalid enggan mendedahkan maklumat terperinci mengenai bukti-bukti tersebut kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.

“Siasatan itu akan mengambil sedikit masa kerana ia perlu diteliti secara terperinci,” ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, siasatan polis berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin kini menjurus kepada seorang suspek yang berada di Lembah Klang.

Ketika diminta mengulas mengenai imej seorang wanita dan lelaki bermotosikal dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis perniagaan tempat mayat Nurin Jazlin dibuang dalam sebuah beg di Petaling Jaya pada 17 September lalu, Khalid memberitahu:

“Buat masa ini jangan tanya apa-apa mengenai CCTV, masa belum mengizinkan saya menjawabnya.”

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, murid tahun dua Sekolah Rendah Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Usaha mencarinya di Kuala Lumpur dan beberapa negeri selama sebulan tidak membuahkan hasil.

Selepas 27 hari Nurin Jazlin hilang, masyarakat digemparkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya.

Kanak-kanak itu disahkan sebagai Nurin Jazlin.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebajikan Bekas Perisikan Malaysia (Perisi) Mustafa Ab. Rahman yang terlibat dalam kempen mencari Nurin Jazlin sepanjang kehilangannya berkata, kejadian yang menimpa Nurin Jazlin itu bukan kerana dendam terhadap keluarga mangsa.

“Jenayah itu dilakukan oleh manusia yang ‘gila seks’. Kejadian tersebut tiada kaitan dengan soal dendam kerana apa yang terjadi merupakan tragedi kepada kanak-kanak di negara kita. Jenayah ini boleh merebak jika dibiarkan,” katanya.

Azmi Zahari, Pengerusi Persatuan Rukun Tetangga Penduduk Hospital Kuala Lumpur dekat Kampung Baru di sini, berkata: “Saya tidak dapat komen kes Nurin Jazlin.

“Tetapi mengenai kes ‘Pencabul Kampung Baru’, saya minta ibu bapa mengawasi anak-anak perempuan yang berumur 10 tahun ke bawah. Dulu penjenayah itu mungkin aktif di kawasan Kampung Baru dan Wangsa Maju... tidak mustahil dia akan bergerak ke kawasan lain.”

0 comments: