Tragedi Nurin amaran untuk semua

Subky Abdul Latif / Foto Wan Zahari
Mon | Sep 24, 07 | 3:14:10 pm MYT

Tragedi gadis sunti Nurin Jazlin Jazimin bermula dari kehilangannya pada 20 Ogos 2007 hingga disahkan ditemui terbunuh pada 21 September 2007 diratapi oleh semua lapisan penduduk Malaysia.

ImageKesannya sangat besar kepada semua. Ia menimbulkan ketakutan kepada semua. Anak-anak tidak lagi selamat keluar rumah sekali pun sekadar keluar pintu sedang di zaman canggih ini sebahagian dari masa anak-anak terpaksa berada di luar rumah.

Bagi ibu bapa yang bekerja, anak yang dijaga pengasuh di rumah tidak seratus peratus selamat dan dihantar kepada pengasuh di luar rumah juga tidak seratus peratus selamat. Berbagai kejadian berlaku.

Kemudian anak mesti ditadikakan dan disekolahkan. Hinggalah dikahwinkan bagi anak perempuan barulah terlepas dari perhatian ibu bapa. Serapi manapun perhatian ibu bapa, anak mesti keluar rumah. Dan bagi negara yang sudah 50 tahun merdeka ini, jaminan keselamatan anak-anak itu tidak ada.

Tambahlah askar dan polis sekali ganda, penyakit sosial seumpama yang terjadi pada Nurin itu tidak akan berakhir. Tiada yang arif untuk mengatakan ia tidak berlaku lagi atau ia adalah yang terakhir. Sejak sedekat lalu, ketemuan mayat di sana sini seperti bertemu anak ayam mati saja. Nyawa manusia sudah semurah nyawa anak ayam.

Semuanya mengutuk kejadian dialami Nurin Jazlin. Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara berjanji untuk mengejar dan menghukum si bedebah. Semuanya tidak menghilang ketakutan semua kerana tiada janji jenayah kejam tidak berulang.

Padahal negara ada undang-undang dan ada polis. Semuanya tidak menjamin nyawa, keselamatan dan harta rakyat.

Inilah ketakutan yang dialami oleh manusia di bawah sistem jahiliyah sebelum, semasa dan selepas kelahiran Rasulullah s.a.w.

Mengapa? Kerana jahiliyah tidak menjamin keamanan dan keselamatan. Yang menjamin keamanan dan keselamatan ialah Islam dan segala peraturannya. Panduannya ada dalam al-Quran dan sunah nabi-Nya. Siapa yang berpandu dengan pusaka peninggalan Rasulullah s.a.w. รข€“ al-Quran dan sunah - insya Allah sejahtera dunia akhirat. Nabi Muhammad s.a.w. sudah menjanjikan begitu.

Kekejaman yang menimpa Nurin tidaklah sekejam yang dialami masyarakat jahiliyah Makkah sebelum kedatangan Islam. Sekalian penjenayah yang berhati binatang semasa itu telah menjadi orang taqwa dengan mengamalkan peraturan Islam. Antaranya menjadi manusia yang mulia seperti Sayidina Umar al-Khatab.

perundangan jahiliyah

ImageMalaysia telah dimerdekakan sebagai negara Islam tetapi mengamalkan sistem dan perundangan jahiliyah. Sekalian yang diamanah menjalankan tugas khalifah di negara merdeka itu tidak peka dengan hikmat peraturan Islam kerana ia disorokkan oleh penjajah.

Setelah penjajah itu pergi mulalah didedahkan hikmat perlaksanaan Islam itu kepada orang-orang yang sepatutnya berperanan sebagai khalifah. Tetapi mereka menolak.

Pengetahuan tentang kesejahteraan dan keselamatan sosial di bawah payung kehidupan Islam telah terdedah sepenuhnya kepada sekalian penduduk Malaysia dari sekecil-kecilnya seperti pengundi dan kepada sebesar-besarnya seperti pemegang pemerintahan.

Pemberitahuan sepenuhnya tiba ke kemuncaknya apabila kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu meluluskan Kanun Jenayah Syariah. Dengan pengetahuan itu tiada alasan lagi untuk melanjutkan ciri-ciri peraturan jahiliyah.

Tetapi pemimpin kerajaan Malaysia bukan sekadar menolak tetapi menghalang. Ia dikatakan bukan peraturan Tuhan tetapi oleh PAS yang memperkenalkannya. Ia disokong oleh majoriti pengundi termasuk para imam, tok-tok guru dan orang tahu Islam.

ImageOrang yang tahu Islam itu tetapi bersetuju dengan penolakan kanun jenayah Islam itu sama dengan sikap para orentalis yang alim tentang pengajian Islam, tetapi tidak diberi hidayat untuk mengamalkannya.

Penolakan itu adalah tidak percaya kepada janji al-Quran bahawa peraturan Islam mndatangkan kesejahteraan kepada penduduk. Maka Malaysia terus beramal dengan sistem jahiliyah.

Kezaliman dan kekejaman yang berlaku ketara sekitar satu dua dekad ini adalah 'bayaran tunai' dari Allah tentang penolakan janji-janji-Nya itu. Dulu ia tidak sebegitu teruk, justeru pendedahan peraturan Allah itu diketahui semua. Tetapi setelah semuanya diketahui, maka ingkar juga, lalu Allah beri laluan kepada jenayah besar bermaharajalela.

Nasib Nurin adalah dalam perancangan Allah untuk menyedarkan penduduk Malaysia bahawa peraturan selain dari Islam itu mendatangkan ancaman dan ketakutan kepada semua.

Nurin tidak berdosa. Dia belum baligh. Belum ada neraca dosa dan pahalanya. Insya Allah sejahteralah dia di alam sana. Dia menjadi pilihan Allah. Moga-moga ibu bapanya dapat bersabar atas tragedi itu.

Yang terjadi itu adalah ujian Allah kepada kedua ibu bapanya. Tetapi ia adalah amaran Allah untuk sekalian penduduk Malaysia khususnya umat Islam. Itulah gejala yang menimpa kaum yang ingkar kepada peraturan dari langit.

Dulu pengetahuan mengenaikan tidak cukup, maka ancaman kerosakan sosial itu tidak sekeras dan seketara sekarang. Sekarang maklumat telah jelas, maka amaran itu bertambah ketara. Lagi lama mengingkarinya, lagi gawat ancaman itu.

Tiada penyelasaian lain melainkan bersedia kembali ke jalan Allah. Apabila peraturan Allah itu dilaksanakan, Allah tanamkan rasa takut ke hati setiap orang rasa gerun terhadap jenayah. Rasa gerun itulah yang menghalang masing-masing untuk melakukan jenayah.

Jenayah bukan kurang kerana polis ramai, tetapi ia lenyap dari hati mansia. Itlah hikmat yang Allah janji kepada pencinta peraturan Islam.


0 comments: