Oleh: ZABRY MOHAMAD
|
|
KUALA LUMPUR 23 Sept. – Esok bakal melakar satu lagi sejarah negara apabila nama angkasawan pertama negara diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Di atas kertas, umum sudah mengetahui Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ialah calon utama yang akan menggalas tanggungjawab tersebut manakala Kapten Dr. Faiz Khaleed diletakkan sebagai calon simpanan.
Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berkata, sama ada keputusan itu kekal atau sebaliknya hanya diketahui esok.
Ini bermakna Sheikh Muszaphar, 34, dan Faiz, 27, masih mempunyai peluang yang sama untuk dinobatkan sebagai angkasawan pertama Malaysia.
Jamaludin menjelaskan, pengumuman esok adalah berdasarkan laporan prestasi kedua-dua calon yang dikeluarkan Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos) sejak mereka dihantar ke Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Moscow pada 9 Oktober lalu.
“Sama ada kita akan kekalkan kedudukan mereka atau sebaliknya bergantung kepada prestasi semasa latihan di Rusia.
“Mungkin keputusan berubah atau kekal, itu yang akan diumumkan Perdana Menteri dalam satu majlis khas di Putrajaya esok,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, faktor-faktor lain turut boleh mempengaruhi keputusan esok termasuk laporan perubatan.
Angkasawan negara sama ada Sheikh Muszaphar atau Faiz dijadualkan berlepas dari Baikanour, Kazakhstan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober ini.
Kapal angkasa yang akan membawa angkasawan pertama negara ke ISS adalah Soyuz TMA-11 yang dipandu Yury Malenchenko dari Rusia dan jurutera penerbangan Amerika Syarikat, Peggy Whitson.
Angkasawan negara bakal berada di sana selama sembilan hari sebelum pulang ke bumi bersama angkasawan lain, yang kini telah pun berada di ISS.
Di ISS, angkasawan negara akan menjalani tiga eksperimen berkaitan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein.
Penghantaran angkasawan negara merupakan program timbal-balas pembelian 18 pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM.
0 comments:
Post a Comment