Polis jangan sewenang-wenang dakwa keluarga Nurin - Wan Azizah

Azamin Amin
Mon | Sep 24, 07 | 10:36:11 am MYT

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Hrkh) - Pihak Polis digesa supaya tidak memberi tekanan kepada keluarga Nurin Jazlin Jazimin di atas kehilanganya tambahan pula di saat ini mereka sedang berada dalam keadaan yang amat sedih di atas kejadian yang berlaku.


ImagePresiden KeADILan, Dr Wan Azizah Ismail berkata Ketua Polis Negara tidak patut sewenang-wenangnya mendakwa pihak keluarga Nurin Jazlin Jazimin di atas kematiannya itu, sebaliknya mereka sepatutnya mengunakan kuasa dan kepentingan polis untuk mencari dan mendakwa penjenayah kejam yang menyeksa dan membunuh Nurin Jazlin.

“Kita mahukan pihak berkuasa menangkap pembunuh dan jangan berikan tekanan bahawa ibu bapa Nurin Jazlin bersalah, mereka telah menghadapi tekanan emosi dan fizikal, jangan berikan mereka tekanan, pihak polis sepatutnya berusaha menangkap penjenayah,” katanya yang dipetik daripada Suara KeADILan online.

Beliau berkata demikian ketika menziarah keluarga mangsa pembunuhan kejam kanak-kanak bernama Nurin Jazlin yang hilang di Wangsa Maju selama 30 minit semalam, yang turut disertai oleh Ketua KeADILan Wangsa Maju, Zakir Yusoff.

Ketika mengunjungi keluarga Nurin Jazlin, Wan Azizah turut melahirkan rasa kesedihan yang menimpa keluarga Nurin Jazlin, beliau turut dilihat memberi kata-kata semangat dan perangsang kepada ibu bapa Nurin Jazlin.

Beliau turut menyampaikan buah tangan dan sumbangan kepada ibu bapa Nurin Jazlin.

Dalam perkembangan berkaitan menurut laporan agensi berita banyak pihak tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya tindakan mahkamah diambil terhadap ibu bapa yang hilang anak kerana cuai.

ImageMereka berpendapat adalah mustahil bagi ibu bapa mengawasi anak sepanjang masa, apa lagi dalam hal kedua-dua ibu dan bapa bekerja.

Istilah 'cuai' adalah relatif, dan mereka mahu definisi tepat diberi tentang apa dimaksudkan oleh menteri Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Seorang kakitangan kerajaan, Nur Hidayat Shafie, 48, khuatir cadangan itu membawa kesan negatif dalam masyarakat terutama bila ibu bapa disabit kesalahan.

"Jika ibu bapa didakwa, apa akan terjadi kepada nasib anak mereka... bagi saya kebanyakan ibu bapa telah menjalankan tanggung jawab sebaik mungkin dalam membentuk peribadi serta mendidik anak-anak.

"Kita harus faham jika ibu bapa bekerja, masa yang diperuntukkan untuk anak agak terbatas...waktu terluang itulah digunakan untuk mendisplin serta bersama anak," katanya.

Pekerja swasta, Nor Apni Safri, 23, pula berpendapat ibu bapa harus diberi motivasi serta bimbingan dan bukan mengheret mereka ke mahkamah.

"Bagi kes adik Nurin, saya tidak nafikan mungkin ada sedikit unsur kecuaian kerana membiarkan dia keluar berseorangan pada waktu malam walaupun berhampiran rumah tetapi tidak semua kes melibatkan ibu bapa cuai," kata beliau.

Seorang pesara kerajaan, Mohamad Abdullah, 57, berpendapat pihak berwajib perlu memperincikan apa yang dimaksudkan sebagai cuai itu sebelum mendakwa ibu bapa ke mahkamah atas sebab kehilangan anak mereka.

"Ini perlu kerana kadang-kadang jika tidak bagi keluar rumah, mereka keluar juga untuk bermain dan sebagainya. Kita tak boleh 'merantai' anak di rumah dan hanya membenarkan mereka bermain di luar rumah mengikut kelapangan kita," katanya.

Katanya, jika ibu bapa berkenaan dikenakan tindakan undang-undang ini akan hanya mengeruhkan lagi keadaan yang memang sudah rumit bagi keluarga berkenaan.

Tinjauan di beberapa lokasi pusat membeli-belah dan taman rekreasi sekitar ibu negara mendapati masih ada ibu bapa yang leka serta membiarkan anak berkeliaran terutama sewaktu sedang sibuk membeli barangan.

Dalam reaksi berbeza, seorang pekerja keselamatan Norehan Sulong, 47, berkata tanggungjawab mendidik serta memerhatikan gerak-geri anak adalah hak ibu bapa, masyarakat hanya dapat membantu.

"Jika mereka benar-benar cuai, mendera anak, maka wajarlah mereka didakwa," katanya yang dipetik daripada Bernama. - mks.

0 comments: