Syor blog tak ditutup untuk peringatan

KUALA LUMPUR: Masyarakat Malaysia meminta blog yang disediakan khas untuk Nurin Jazlin Jazimin yang mati dibunuh tidak ditutup sebegitu saja, sebaliknya diteruskan bagi tatapan dan peringatan generasi akan datang.

Blog Nurinjazlin.blogspot.com yang dibina bapa saudara Nurin, Jasni Abdul Jalil untuk tatapan dan perkongsian perasaan tidak putus-putus dikunjungi pelawat laman web yang prihatin dan simpati atas kejadian yang menimpa kanak-kanak malang tidak berdosa itu.

Rata-rata rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan Nurin menerusi blog itu dari saat dia dilaporkan hilang hingga pembunuhan kejamnya menyiarkan pelbagai kata-kata semangat dan tidak bersetuju jika blog itu ditamatkan.

Tanpa disedari banyak kes seumpama itu dilaporkan tetapi sering alpa dan mudah lupa kes sebegini boleh berlaku pada bila-bila masa seperti kes Nurul Huda Abdul Ghani, 10, yang berkongsi nasib sama dengan Nurin.

Jika blog itu diteruskan, ia boleh menjadi peringatan kepada semua agar tidak sesekali leka dan terlepas pandang kepada kekejaman segelintir manusia tetapi berperangai lebih daripada binatang.

Sekurang-kurangnya kewujudan blog ini musibah yang menimpa Nurin tidak akan dilupakan dan akan dijadikan iktibar oleh ibu bapa dan masyarakat agar lebih peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Memetik kata-kata Akazukii di laman web itu, dia berharap blog itu diteruskan demi memperingati Nurin dan dijadikan sebagai kenang-kenangan.

Pengunjung lain seperti Dotter dan Nama juga tidak mahu blog itu ditutup sekurang-kurangnya sehingga pembunuh yang tidak berperikemanusiaan itu berjaya ditangkap.

Masyarakat memberikan motivasi, sokongan, komen dan ulasan terhadap apa juga perkembangan Nurin yang disiarkan dalam blog itu.

"Sebenarnya dia (pembunuh) tidak layak sekalipun untuk diumpamakan seperti binatang kerana tiada binatang yang berupaya bertindak kejam sepertinya.

"Semoga tenang rohmu Nurin bertemu Tuhanmu, syurga di sana melambai-lambai menanti kehadiranmu, kami sayangkan kamu," antara ungkapan kata-kata pelawat blog itu.

Kehilangan Nurin amat dirasai rakyat Malaysia dan masing-masing sedih serta marah apabila Nurin yang hilang 28 hari ditemui mati dalam keadaan yang memilukan akibat penderaan seksual dan pembunuhan kejam.

Pembunuh yang dianggap berjiwa syaitan itu memasukkan timun dan terung dalam kemaluan mangsa menyebabkan rektumnya pecah sehingga dijangkiti bakteria.

Penjenayah kemudian meletakkan mayatnya dalam beg pakaian dan ditinggalkan di depan sebuah kedai di Petaling Jaya seolah-olah bangga dengan perbuatannya. � Bernama

0 comments: